PRESIDEN Afghanistan Ashraf Ghani hari ini menolak peletakan jawatan ketua perisikan, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan ketika kerajaan negara itu berdepan kritikan susulan ancaman pemberontakan yang semakin meningkat.
Ghani meminta Menteri Pertahanan Tariq Shah Bahrami, Menteri Dalam Negeri Wais Ahmad Barmak dan ketua perisikan Masoom Stanekzai meneruskan tugas masing-masing selepas menolak surat peletakan jawatan mereka yang dihantar semalam.
Malah Ghani meminta mereka untuk meningkatkan tahap pertahanan negara bagi menangani ancaman pemberontak.
“Presiden Ghani tidak meluluskan peletakan jawatan mereka dan memberi arahan lanjut untuk memingkatkan tahap keselamatan semasa,” kata satu kenyataan rasmi presiden.
Semalam, ketua penasihat keselamatan Afghanistan Mohammad Haneef Atmar meletak jawatan, sekali gus memberi tamparan hebat kepada kerajaan menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.
Pentadbiran Ghani sering dikritik kerana gagal mengekang ancaman pemberontakan terutamanya daripada puak Taliban yang sering menyerang polis dan tentera di seluruh negara selain keganasan kumpulan Daesh.
Sepanjang bulan ini, beberapa siri keganasan terus berlaku di seluruh negara termasuk serangan berdarah di Ghazni yang menyebabkan ratusan nyawa terkorban dan kemusnahan teruk. – AFP, 26 Ogos, 2018.
Komen