Jangan buat silap mansuh bantuan tunai, kata Nik Nazmi


Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan sebarang keputusan mengenai bayaran tunai tersebut perlu dibuat melalui persetujuan gabungan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

KERAJAAN tidak harus membuat kesilapan dengan memansuhkan pemberian wang tunai Bantuan Sara Hidup (BSH), kata Pemuda Pakatan Harapan.

Pengerusi majlis tersebut Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan sebarang keputusan mengenai bayaran tunai tersebut perlu dibuat melalui persetujuan gabungan parti.

Ketua Pemuda PKR itu dalam kenyataannya mengingatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa PH sudahpun berjanji akan teruskan pembayaran bantuan itu dalam manifesto pilihan raya.

“Sebarang keputusan harus dibuat dengan persetujuan kesemua parti Pakatan Harapan dan Kabinet Kerajaan – terutamanya kerana manifesto Pakatan Harapan telah menjanjikan bahawa BR1M akan dikekalkan untuk golongan B40,” tegasnya.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan mengurangkan bayaran tersebut dan memansuhkannya secara berperingkat.

Dr Mahathir berkata ia terpaksa dilakukan kerana pentadbiran Najib Razak terlalu “memanjakan” rakyat golongan itu rasa berhak mendapat wang tanpa melakukan sebarang kerja.

Beliau juga memberitahu The Malaysian Insight, pemansuhan bayaran tersebut akan membuatkan rakyat menjadi lebih berdikari.

Mengulas perkara itu, Nik Nazmi mengakui bahawa sistem bayaran itu sememangnya perlu diteliti semula agar turut mengurangkan jurang pendapatan dalam masyarakat dan membolehkan penerimanya berdikari.

Namun tegasnya, bayaran tersebut tidak seharusnya ditamatkan kerana ia sudahpun menjadi bantuan hayat bagi majoriti penerimanya – dari golongan berpendapatan rendah.

“Pakatan Harapan tidak boleh membuat kesilapan dalam hal ini, sejarah akan menilai kita,” kata Penyandang jawatan ketua Pemuda PKR itu juga berkata, isu pemberian bantuan itu tidak boleh diperkecilkan kerana terdapat segelintir masyarakat yang amat memerlukannya.

“Kegusaran pasti dirasai oleh ramai penerima BSH yang lain. Pemberian wang sudah menjadi bantuan hayat bagi kebanyakan mereka.” – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen