KERAJAAN China dilapor menahan masyarakat minoriti Islam di rangkaian kem-kem yang diwujudkan di barat negara itu dengan tujuan ‘indoktrinasi’.
Perkara itu didedahkan oleh Sayragul Sauytbay, seorang etnik Kazakh Cina yang merupakan antara 2,500 etnik Kazakh yang ditahan tanpa sebarang dakwaan dan dipaksa bekerja di kem tersebut.
Menurut Sayragul, dia ditahan hanya kerana tidak memiliki dokumen yang sah ketika menuju ke Kazakhstan dari wilayah Xinjiang, China.
“Di China, mereka menggelarnya sebagai kem politik tetapi ia merupakan penjara yang terletak di kawasan pergunungan.”
Sayragul antara 20 lagi etnik Kazakh yang membuat pendedahan itu kepada sebuah mahkamah di Kazakhstan pada bulan lalu sambil disaksikan puluhan penduduk negara itu, wartawan dan wakil diplomat China.
Berdasarkan kenyataan mereka, kerajaan China dipercayai melakukan indoktrinasi di Xinjiang, bukan saja kepada etnik Islam Uighur tetapi kebanyakan etnik Islam yang lain termasuk Kazakh.
Mereka mendakwa, mana-mana individu yang disyaki mempunyai hubungan luar dari China boleh disiasat, ditahan tanpa dakwaan dan dihantar ke pusat doktrin dengan serta-merta.
Di kem tersebut, tahanan Muslim akan menghabiskan masa dengan menyanyi lagu ‘Tanpa Parti Komunis, China Tidak Akan Wujud’, dan mereka terpaksa tidur di bilik tahanan yang sesak.
Pendedahan Sayragul bersama tahanan lain sekali gus menguatkan lagi dakwaan pemangku timbalan setiausaha Amerika Syarikat di China, Laura Stone pada April lalu tentang penahanan berpuluh-puluh ribu masyarakat Islam Cina.
Malah pada satu sesi pendengaran kes di Washington pada 26 Julai lalu yang diadakan oleh Suruhanjaya Eksekutif Kongres terhadap China, sebuah badan hak asasi manusia, mendakwa jumlah tahanan mungkin mencecah ratusan ribu atau lebih.
Bagaimanapun pegawai kerajaan China sering mengelak untuk menjawab kesemua dakwaan tersebut.
Malah pada sesi pendengaran kes Sayragul pada 23 Julai lalu, seorang diplomat China enggan menjawab soalan berkenaan kes wanita itu.
Namun Kementerian Hal Ehwal Luar China mengeluarkan kenyataan ringkas berhubung dakwaan berlakunya penahanan dan penderaan di negara itu.
“Situasi di Xinjiang adalah stabil, begitu juga dengan perkembangan ekonomi dan kesemua kumpulan etnik hidup dengan harmoni,” jelas kenyataan itu.
Hubungan keruh antara kerajaan China yang dikuasai Parti Komunis dan masyarakat minoriti Islam menjadi lebih buruk apabila keganasan meletus di Urumqi, ibu wilayah tersebut pada 2009.
Kerajaan China kemudiannya melancarkan kempen memerangi keganasan dan mengetatkan tahap keselamatan di wilayah itu susulan serangan etnik Uighur sejak insiden 2009. – 26 Ogos, 2018.
Komen