Tiada makanan antara punca ramai remaja berlapar


Zaim Ibrahim

31% daripada golongan remaja ini didapati tidak mengambil hidangan utama setiap hari, menurut statistik daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

SETIAP hari, Ahmad Bukhari Nawawi Ahmad Zailani, 13, tidak sempat bersarapan sebelum ke sekolah kerana lebih gemar melajakkan waktu tidur.

Beliau yang bersekolah di Sekolah Menengah Sri Pantai merupakan salah satu contoh hasil kajian yang menunjukkan ramai remaja mengamalkan pemakanan tidak sihat.

Malah 31% daripada golongan remaja ini didapati tidak mengambil hidangan utama setiap hari, menurut statistik daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017.

Akibat sering bangun lewat untuk ke sekolah, Ahmad Bukhari mengakui tidak makan apa-apa kerana perlu menaiki bas seawal jam 6:30 pagi.

“Saya pergi sekolah memang tidak makan (sarapan). Sebab takut pergi sekolah lambat dan saya pun bangun lambat kerana menonton televisyen hingga lewat malam.

“Tengah hari pun saya tak makan. Ibu tak sempat masak kerana menjaga anak-anak orang. Kalau saya lapar, akan buat roti bakar,” jelas remaja itu. 

Beliau yang ditemui The Malaysian Insight di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, di Kuala Lumpur itu juga berkata, beliau mengambil minuman berkarbonat sehingga tiga kali sehari.

Tinjauan itu menujukkan, 24% remaja Malaysia hanya makan sekali setiap hari.

Paling membimbangkan, 31%  daripada remaja itu berkata mereka tidak makan apa-apa hidangan utama setiap hari, menurut laporan ke atas kesihatan dan pemakanan golongan tersebut.

Hanya 18% di antara remaja ini berpeluang makan tiga kali sehari dan seramai 27 peratus hanya makan dua kali sehari.

Kajian terdahulu juga mendapati kesedaran mengenai kepentingan nutrisi dalam perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak dan remaja ini masih di tahap rendah.

Tinjauan Unicef pada tahun lalu mendapati kes kanak-kanak yang tinggal di kawasan flat kos rendah kekurangan zat makanan adalah lebih tinggi daripada purata nasional.

Satu tinjauan lain pula mendapati satu perempat daripada anak-anak di Putrajaya mengalami tumbesaran terbantut disebabkan kekurangan zat makanan.

Data itu juga mendedahkan, 1 daripada 3 pelajar sekolah menengah minum minuman berkarbonat setiap hari dengan Sarawak mencatatkan kadar paling tinggi (57.4%) diikuti, Labuan (52.4%), dan Sabah (46.9%).

Kajian kesihatan dan morbiditi tahun 2017 pula mendapati tujuh daripada setiap 10 remaja tidak mengambil sarapan.

Daripada jumlah itu, 32% daripada berkata mereka tiada masa untuk makan, 44% tiada selera dan 9% berkata mereka tiada makanan.

Satu tinjauan lain pula mendapati satu perempat daripada anak-anak di Putrajaya mengalami tumbesaran terbantut disebabkan kekurangan zat makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

Kebanyakan remaja, sebanyak 57% berpendapat makan malam sebagai hidangan, 48% makan tengahari sebagai hidangan utama dan hanya 30% makan sarapan sebagai hidangan utama.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) itu dijalankan antara Mac dan Mei 2017, melibatkan 27,497 pelajar dari 212 buah sekolah di seluruh Malaysia.

Tinjauan itu tidak menyatakan kumpulan pendapatan isi rumah remaja terbabit.

Bagaimanapun ia mengenal pasti jurang di antara tabiat pemakanan remaja di bandar dan luar bandar dari segi pengambilan makanan segera dan tinggi kandungan gula.

Secara kasar, 11.1% pelajar makan makanan segera tiga kali seminggu, 11.7% daripada di luar bandar dan 10.6% di bandar. 

Remaja luar bandar juga lebih kerap mengambil minuman ringan, seramai 41% berbanding 34% di bandar. Ia dikira sebagai pengambilan dua atau tiga minuman setiap hari.

Secara kasar, 36% remaja mengambil minuman ringan setiap hari – paling tinggi di Sarawak 57.4%, Labuan (52.4%), dan Sabah (46.9%).

Tinjauan itu juga mendapati pengambilan gula di kalangan remaja meningkat 1.4 kali ganda dari 2012 hingga 2017.

Seorang remaja lagi, Megat Adam Mikhail Zulazhar,15, berkata beliau minum air berkarbonat dua hingga tiga kali dalam masa sehari, lebih-lebih lagi ketika penat berjalan untuk pulang ke rumah daripada sekolah. 

“Saya tak suka makan sayur. Makan buah pun jarang hanya tiga hingga empat kali sebulan,” ujarnya yang turut memberitahu akan membantu ayahnya setiap hari menjual air.

Tinjauan itu mendapati hanya 23.5% remaja makan buah dan sayur-sayuran setiap hari dengan kadar paling rendah di Wilayah Perseketuan Putrajaya (12.6%) diikuti Melaka (14.8%), dan Pulau Pinang (15.5%). – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen