PASUKAN penyelamat Rusia menjumpai bangkai bot memancing milik rakyat Korea Utara di perairan Timur Rusia namun gagal menemui empat krew yang hilang, kata pihak berkuasa negara itu hari ini.
Kementerian Situasi Kecemasan Rusia berkata anggota krew berkenaan membuat laporan berhubung kejadian tersebut kepada pasukan penyelamat semasa bot dinaikki mereka dibadai ribut.
Dua daripada enam krew itu, katanya, diselamatkan oleh kapal yang melalui kawasan itu.
Baki krew bagaimanapun tidak dapat diselamatkan ekoran ombak tinggi.
Pasukan penyelamat kecemasan Rusia menghantar helikopter Mi-8, yang kemudiannya menjumpai bangkai bot berkenaan di 100 kilometer dari bandar pelabuhan Vladivostok dekat Laut Jepun.
Ia memeriksa kawasan itu dari ruang udara selama tiga setengah jam namun tidak menjumpai baki krew yang hilang.
“Nasib empat mangsa masih tidak diketahui,” kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.
Tambahnya, operasi menyelamat menjadi sukar berikutan perubahan keadaan cuaca yang tidak menentu akibat hujan lebat, angin kencang dan ombak setinggi enam meter.
Keputusan sama ada misi pencarian akan diteruskan akan diputuskan esok. – AFP, 25 Ogos, 2018.
Komen