BERPULUH-PULUH ribu pelarian Rohingya hari ini mengadakan demonstrasi bagi menuntut keadilan ekoran kempen ganas tentera Myanmar ke atas kumpulan minoriti yang dijalankan genap setahun lalu.
Demonstrasi itu juga diadakan bagi mengimbas kembali pembunuhan kejam dan kes rogol oleh tentera Myanmar terhadap kumpulan pelarian tersebut sehingga menyebabkan 700,000 penduduk Rohingya terpaksa menjadi pelarian.
Kini kumpulan pelarian itu menghuni kem-kem perlindungan di sempadan Bangladesh-Myanmar yang disifatkan sebagai kem pelarian terbesar di dunia.
Acara tunjuk perasaan tersebut berjalan secara aman sambil laungan ‘Kami penduduk Rohingya mahukan keadilan’ kedengaran di kem Kutupalong.
Ketua polis tempatan Abul Khair berkata dianggarkan 40,000 pelarian Rohingya menyertai demonstrasi itu dan berarak di seluruh kem.
Turut kelihatan kain rentang gergasi yang tertera ayat “Tidak Berlaku Lagi: Hari Memperingati Pembunuhan Beramai-Ramai Penduduk Rohingya. 25 Ogos 2018.”
Di bahagian lain kem yang sama, beribu-ribu wanita dan kanak-kanak berarak di belakang poster gergasi yang tertulis, “Menangis selama 365 hari. Kini saya marah.”
Tragedi pada 25 Ogos tahun lalu bermula apabila kumpulan militan Rohingya melancarkan serangan ke atas sebuah pos kawalan polis Myanmar, sekali gus mencetuskan kempen pemburuan di negeri Rakhine yang dihuni oleh etnik Rohingya.
Hampir 7,000 penduduk Rohingya maut dalam bulan pertama kempen itu dilancarkan selain terdapat laporan tindakan tentera Myanmar merogol dan mendera penduduk etnik tersebut serta membakar perkampungan mereka. – AFP, 25 Ogos, 2018.
Komen