RUSIA hari ini mendakwa kumpulan penentang kerajaan Syria merancang untuk melancarkan serangan kimia di wilayah Idlib sebagai taktik menyalahkan Damsyik.
Moscow tampil dengan tuduhan terbaru itu selepas penasihat keselamatan Amerika Syarikat (AS) John Bolton pada awal minggu ini memberi amaran keras untuk bertindak lebih tegas jika Presiden Syria Bashar al-Assad menggunakan serangan kimia.
Idlib merupakan antara kubu terakhir kumpulan penentang Syria.
Jurucakap kementerian pertahanan Rusia Igor Konashenkov berkata kumpulan penentang Hayat Tahrir al-Sham merancang serangan itu sebagai langkah provokasi ke atas kerajaan Syria.
Katanya, kumpulan itu menghantar lapan tong bahan kimia klorin ke pekan Jisr al-Shughur untuk melancarkan serangan itu.
Selain itu, Igor berkata kumpulan itu menerima latihan untuk mengendalikan bahan kimia terbabit daripada syarikat ketenteraan swasta Britain, Olivia yang tiba di pekan tersebut beberapa hari lalu.
“Kumpulan penentang itu turut mengadakan latihan simulasi menyelamatkan mangsa serangan kimia dengan memakai pakaian pasukan sukarelawan ‘White Helmets,” katanya.
Igor turut menuduh pasukan khas Britain secara aktif terlibat dalam insiden provokasi untuk membolehkan AS, Britain dan Perancis melancarkan serangan udara ke atas lokasi strategik kerajaan Syria. – AFP, 25 Ogos, 2018.
Komen