Pemimpin PSM dihalang masuk Sarawak


Desmond Davidson

TIMBALAN Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani S Kaniapan menjadi pemimpin politik terbaru Semenanjung yang dihalang memasuki Sarawak.

Biwani, yang dilaporkan dalam lawatan sosial untuk menghadiri perkahwinan seorang rakan dihalang pegawai imigresen sebaik tiba pada jam 11.05 pagi semalam.

Dia menggunakan penerbangan Air Asia yang bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi.

Dalam catatan di Facebooknya, Bawani menulis “Saya dihalang imigresen di Lapangan Terbang Kuching. Mereka kata saya tak boleh masuk Sarawak.

“Alasan: arahan daripada kerajaan negeri Sarawak sejak 2016.

“Rabu lepas, saya periksa status saya di imigresen Ipoh dan mereka kata semuanya okay.”

Seperti amalan larangan masuk sebelum ini, tiada sebab diberikan untuk menolak kemasukannya.

Bagaimanapun, notis penolakan masuk yang diberikan kepadanya mengatakan ia dikeluarkan menggunakan Seksyen 65 (1) (a) Akta Imigresen 1959/63.

Dia menyertai senarai panjang ahli politik dan aktivis sosial dari Semenanjung yang berada dalam “senarai hitam” negeri termasuklah Naib Presiden PKR Tian Chua, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa, bekas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Perkara Ibrahim Ali, bekas Pengerusi Bersih 2.0 S Ambiga serta aktivis sosial Steven Ng, Cynthia Gabriel, Wong Chin Huat dan Johan Tan. Turut berada dalam senarai ialah pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan, ahli akademik Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan ketua baju merah Umno, Jamal Md Yunos.

Sarawak seringkali menggunakan kuasa imigresennya untuk menolak kemasukan mereka dari Semenanjung yang dianggap “pelampau perkauman dan agama”. – 30 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen