DUA orang terbunuh hari ini dalam serangan pengebom bunuh diri di luar perkarangan pejabat suruhanjaya pilihan raya Afghanistan dekat bandar Jalalabad, kata pegawai.
Serangan terbaharu di negara bergolak itu menyasarkan kem penunjuk perasaan di luar bangunan tersebut dekat wilayah Nangarhar, di mana sekumpulan orang mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada seorang calon Parlimen yang hilang kelayakan untuk bertanding pilihan raya pada Oktober.
“Serangan itu membunuh dua orang, manakala empat lagi cedera,” kata jurucakap gabenor wilayah Attaullah Khogyani kepada AFP, sambil menambah yang seorang penyerang bunuh diri bertanggungjawab terhadap letupan itu.
Pengarah kesihatan wilayah Najib Kamawal mengesahkan angka kematian tersebut.
Seorang saksi berkata letupan itu dicetuskan oleh seorang pengebom bunuh diri yang meletupkan bahan letupan berhampiran khemah yang dipenuhi penunjuk perasaan di luar perkarangan pejabat suruhanjaya pilihan raya dekat Jalalabad, menyebabkan orang ramai bertempiaran lari sementara anggota keselamatan mengepung kawasan itu.
“Letupan sangat kuat dan mengegarkan rumah kami,” kata saksi Mirza Amin, yang tinggal berhampiran tempat kejadian. – AFP, 25 Ogos, 2018.
Komen