PIHAK berkuasa Australia berkata mereka mengentikan cubaan “rancangan pengganas” yang didakwa mempunyai kaitan dengan militant Islam untuk meletupkan sebuah pesawat dengan bahan letupan selepas empat orang ditangkap dalam satu serbuan di Sydney.
“Saya boleh melaporkan yang malam semalam terdapat operasi bersama anti keganasana besar-besaran untuk menghalang rancangan pengganas untuk meletupkan pesawat,” kata Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull kepada wartawan.
Langkah keselamatan tambahan sudah dilaksanakan di semua lapangan terbang antarabangsa dan dalam negeri negara itu, dan penumpang dinasihatkan supaya sampai dua jam lebih awal untuk menjalani proses saringan keselamatan, katanya lagi.
Maklumat lanjut tidak diberikan pegawai sama ada rancangan pengganas itu menyasarkan penerbangan antarabangsa atau dalam negeri, tetapi akhbar Daily Telegraph melaporkan yang sebuah laluan dalam negeri menjadi sasaran rancangan itu.
Empat lelaki itu ditahan dalam siri serbuan di seluruh Sydney pada Ahad, di dakwa mempunyai kaitan dengan rancangan keganasan itu, kata Pesuruhjaya Polis Australia Andrew Colvin.
“Pihak berkuasa memperolehi maklumat yang mencadangkan beberapa orang di Sydney merancang melakukan serangan pengganas menggunakan IED (alat letupan),” katanya.
Tetapi dia menambah yang polis masih tidak mempunyai “maklumat lanjut mengenai sasaran serangan, lokasi, tarikh atau masa”, dan siasatan dijangka akan mengambil masa lama.
Turnbull berkata rancangan itu dilakukan “secara bersama dan terperinci” dan bukannya rancangan orang perseorangan, tetapi menambah tahap amaran keganasana negara akan dikekalkan pada tahap tinggi.
Canberra mewujudkan sistem tahap amaran pengganas pada September 2014 dan memperkenalkan undang-undang keselamatan negara yang baru ketika kebimbangan serangan yang dilakukan individu yang terpengaruh dengan kumpulan militan seperti Kumpulan Negara Islam dan Syria (IS) semakin memuncak.
Polis anti keganasan juga melakukan beberapa penahanan sejak akhir 2014 di seluruh negara dan berkata setakat ini mereka sudah berjaya menghalang 12 cubaan serangan pengganas di negara itu sejak beberapa tahun lepas.
Tetapi beberapa serangan masih berjaya dilakukan, termasuk rampasan kafe pada 2014 yang menyebabkan dua tahanan terbunuh dan pembunuhan seorang anggota polis di Sydney yang dilakukan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun pada 2015. – AFP, 30 Julai, 2017.
Komen