Peruntukan PBT perlu diteruskan walaupun tanpa 30% ahli wanita, kata TPM


SM Amin

Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun kerajaan meletakkan sasaran 30% penyertaan wanita dalam PBT, soal kelayakan wanita tersebut untuk menjawat jawatan itu perlu diambil kira. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2018.

PERUNTUKAN kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diberikan seperti yang sepatutnya walaupun PBT tersebut gagal melantik 30% ahli majlis wanita, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata, walaupun kerajaan meletakkan sasaran 30% penyertaan wanita dalam PBT, soal kelayakan wanita tersebut untuk menjawat jawatan itu perlu diambil kira.

“Tetapi kita juga mesti perincikan, mestilah ada kelayakan. Apabila peruntukan itu saya kira tengoklah keperluan untuk penduduk.

“Salah satu syaratnya adalah kalau boleh diketengahkan penghuni-penghuni dan pengundi (sebagai ahli majlis) eloklah ketengahkan,” katanya yang juga menteri wanita dan pembangunan keluarga itu ketika ditemui media di Majlis Korban di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang akan menilai semula peruntukan kepada PBT yang gagal melantik 30% ahli majlis wanita.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata polisi tersebut telah mula dilaksanakan dan akan disemak keberkesanannya dua tahun lagi.

“Ketika ini setiap PBT mempunyai 24 ahli majlis, kalau 30% bermaksud sekurang-kurangnya lapan orang mesti diwakili wanita.

“Ahli majlis dilantik setiap dua tahun sekali dan sekiranya PBT gagal mematuhi syarat Sistem Penarafan Bintang mungkin mereka gagal mendapatkan peruntukan namun semuanya akan dinilai semula,” katanya.

Zuraida turut menekankan perwakilan yang seimbang gender dalam majlis perbandaran adalah penting bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik peringkat kebangsaan. – 25 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen