Juara maraton Sukan Asia dituduh tolak lawan


Atlet Jepun Hiroto Inoue (berbaju hitam) dituduh menolak atlet Bahrain Elhassan Elabbassi (berbaju merah) dalam pecutan 100 meter terakhir. Pegawai Bahrain sudah memfailkan bantahan. – Gambar AFP, 25 Ogos, 2018.

ATLET Jepun Hiroto Inoue dituduh menolak lawannya dalam pusingan terakhir maraton Sukan Asia pada Sabtu, apabila naib johan dari Bahrain membuat aduan rasmi dengan pegawai kejohanan.

Inoue dan atlet Bahrain Elhassan Elabbassi bersaing memasuki stadium di Jakarta sebelum atlet Jepun itu membuka peluang kecil untuk Elabbassi memintasnya.

Pada jarak 100 meter terakhir, Elabbassi cuba memintas Inoeu tetapi terjatuh selepas “wujud sentuhan”.

“Nombor satu tolak saya,” kata Elabbassi. “Saya boleh menang.”

Jurulatih Elabbassi, Gregory Kilonzo berkata pengurus pasukan sudah membuat aduan mengenai kejadian itu. Pegawai Bahrain mengesahkan mereka bertemu pasukan teknikal selepas perlawanan.

“Beliau sedang memintas orang pertama, kemudian orang (Inoue) itu tolak dia,” kata Kilonzo. “Dia ditolak dan hampir terjatuh.”

Kedua-dua atlet menghabiskan larian dalam tempoh 2 jam, 17 minit dan 22 saat, tetapi Inoue merupakan calon pilihan untuk menang.

“Saya tak tahu apa yang berlaku,” kata Inoue. “Saya terkejut tetapi saya tak faham apa yang berlaku.” – AFP, 25 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen