MAHKAMAH Agung Chile mengarahkan rampasan aset bernilai AS$1.6 juta mendiang diktator Augusto Pinochet pada Jumaat, penghakiman yang dikeluarkan dalam perbicaraan tertutup berkaitan skandal rasuah Riggs Bank.
Tiga pesara tentera juga dijatuhkan hukuman penjara empat tahun kerana “seleweng dana awam”, kata penghakiman itu yang dilihat AFP.
Kes korupsi itu terbongkar pada 2004, dua tahun selepas kematian Pinochet, apabila diketahui yang sekitar 100 akaun bank dibuka dengan nama Pinochet dan ahli keluarganya di bank Amerika Syarikat, Riggs Bank yang kini tidak lagi beroperasi dan beberapa bank lain di luar Chile.
Penghakiman pada Jumaat itu tidak boleh dirayu, membatalkan penghakiman pada 2004 yang melepaskan pegawai tentera kerana membantu Pinochet menyembunyikan asetnya di luar negara, serta mengembalikan AS$4.8 juta dan 24 aset hartanah yang dirampas dari keluarga diktator itu.
Penyiasat Chile melancarkan siasatan selepas mendapati Pinochet menyembunyikan hampir AS$20 juta menerusi beberapa siri penipuan kewangan yang rumit sejak 1981 menggunakan beberapa identiti palsu.
Pada 2005, Riggs Bank di Washington mengakui menyembunyikan akaun Pinochet dan didenda AS$16 juta.
Menurut data rasmi, hampir 3,200 orang dibunuh atau hilang dan 38,000 lagi disiksa semasa Pinochet menjadi diktator 17 tahun lamanya.
Walaupun didakwa dan ditahan beberapa kali untuk pelbagai jenayah dan bunuh, Pinochet meninggal dunia pada Disember 2006 tanpa pernah disabitkan bersalah. – AFP, 25 Ogos, 2018.
Komen