BEKAS setiausaha agung PBB Kofi Annan akan menerima penghormatan pengebumian negara dan dikebumikan di Ghana pada 13 September, kata presiden Ghana pada Jumaat yang menyifatkannya sebagai “majlis besar untuk negara kita”.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Nana Akufo-Addo selepas pertemuan dengan keluarga Annan di Accra.
Annan, warga Ghana dan penerima Hadiah Nobel Keamanan meninggal dunia 8 Ogos lalu pada usia 80 tahun.
“Kofi Annan adalah salah seorang terhebat dalam generasinya. Beliau seperti seorang abang,” kata Akufo-Addo.
“Ia akan jadi majlis besar untuk negara kita…saya jangkakan ramai pemimpin akan hadir,” katanya, menambah yang Annan akan dikebumikan di tanah perkuburan tentera yang baharu.
Lahir di Kumasi, sebuah bandar di daerah Ashanti, Ghana, Annan menghabis empat dekad hidupnya bekerja dengan PBB dan ketua PBB pertama dari Afrika.
Seorang diplomat, beliau dianggap ramai pemimpin berkarisma dan bertanggungjawab meningkatkan wibawa badan dunia itu dalam arena politik global sepanjang menerajuinya pada 1997 hingga 2006.
Susulan kematian Annan di Switzerland, tempat tinggalnya terletak tidak jauh dari ibu pejabat PBB di Geneva, Akufo-Addo mengumumkan minggu berkabung untuk “salah seorang tokoh terhebat negara”.
Annan dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada 2001, ketika dunia bergelut dengan kesan serangan 11 September kerana usahanya bersama-sama PBB untuk dunia yang lebih terurus dan aman.
Beliau adalah ketua PBB pertama yang dilantik daripada pegawai organisasi itu, ketika meninggalkan jawatannya, beliau dianggap salah seorang pemimpin terbaik pernah wujud di PBB dan “bintang diplomatik” dalam arena diplomatik antarabangsa.
Selepas meninggalkan jawatan, Annan meneruskan kerja-kerja diplomatik termasuk menjadi perantara konflik di Kenya dan Syria dan yang terbaru mengetuai misi penasihat di Myanmar dalam konflik Rakhine. – AFP, 25 Ogos, 2018.
Komen