SST beri kelebihan pada yang kaya, bebankan orang miskin, kata MCA 


Gan Pei Ling

Calon MCA bagi pilihan raya kecil Balakong Tan Chee Teong bertanya khabar kepada peniaga ketika berkempen di Balakong malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Ogos, 2018

CUKAI Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan memberi kelebihan kepada orang kaya namun membebankan golongan berpendapatan rendah, kata Naib Presiden MCA Chew Mei Fun kepada pengundi di Balakong, Selangor malam tadi.

“Ia tidak adil. Ayam, yang menjadi makanan kepada masyarakat biasa, akan dikenakan cukai 10% tetapi abalone, yang biasanya dimakan oleh orang kaya, akan dikenakan cukai 5%.

“Cukai ini hanya beri kelebihan kepada orang kaya tetapi membebankan orang miskin,” kata Chew pada ceramah di Batu 11 Cheras ketika berkempen untuk calon MCA, Tan Chee Teong pada pilihan raya kecil Balakong 8 September ini.

Tan berdepan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki pada pilihan raya berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Ng Tien Chee dari DAP yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Tan sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan yang sama, mengkritik PH kerana mengenakan cukai lebih tinggi ke atas barangan makanan seperti ayam dan daging sebanyak 10% tetapi makanan mewah seperti sarang burung, daging arnab dan unta pada 5%.

SST akan dilaksanakan pada 1 September. Premis makanan seperti kedai mamak yang berpendapatan kurang daripada RM1 juta setahun akan dilecualikan daripada cukai itu.

Dalam sesi ceramah 90 minit yang menarik orang ramai, Chew turut menyifatkan PH sebagai “kerajaan pusingan-U” kerana hanya menunaikan dua daripada 10 janji yang mereka mahu tunaikan dalam tempoh 100 hari selepas memenangi kerajaan persekutuan.

“Pakatan Harapan adalah kerajaan pusingan-U. Mereka menyalahkan kerajaan terdahulu kerana tidak dapat memenuhi janji mereka. Alasan mereka adalah mereka tidak ada duit yang cukup. Itu sebabnya mereka tidak boleh mansuhkan tol dan mengurangkan harga petrol kepada RM1.50. Harga petrol masih RM2.20 hari ini kata bekas timbalan menteri itu.

Sementara itu, pembantu Chew yang juga penceramah daripada Sekolah Pengajian Politik MCA, Saw Yee Fung berkata, SST akan meningkatkan harga barang.

“SST ialah Suka-Suka Tax. Apabila kamu bangun dan memberus gigi, berus gigi dan ubat gigi anda dikenakan cukai. Tarif air Selangor akan naik. Bila keluar rumah kamu akan dapati Milo kamu dan parkir juga dikenakan cukai.

Jika kamu bercuti ke luar negara, kamu akan dikenakan cukai. Apabila SST bermula 1 September, harga barangan akan naik tetapi gaji kamu tidak naik. Kami berdiri bersama rakyat.

“Kerajaan ini perlu disemak. Kita perlu bersatu menentang Pakatan Harapan pada 8 September,” kata Saw.

Seorang lagi penceramah dari Sekolah Pengajian Politik MCA, Wong Kok Fye berkata, calon PH Wong Siew Ki perlu turun dan beri laluan kepada MCA untuk memenangi kerusi ini untuk merealisasikan sistem dua parti yang disokong DAP.

Pilihan raya kecil Balakong menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan MCA, yang bertanding menggunakan logo sendiri buat pertama kalinya. – 25 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen