]PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat berkata, pihaknya membatalkan lebih AS$200 juta bantuan kepada penduduk Palestin di Jalur Gaza dan Tebing Barat.
Pegawai kanan Jabatan Negara itu berkata keputusan berkenan, “yang dibuat atas arahan terus presiden”, dibuat selepas semakan program bantuan kepada wilayah Palestin.
Dana AS$200 juta untuk program di Tebing Barat dan Gaza “kini akan disalurkan kepada projek keutamaan tinggi di tempat lain”, menurut pegawai terbabit.
Langkah itu dibuat “berikutan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat antarabangsa dalam menyediakan bantuan di Gaza, di mana kawalan Hamas membahayakan nyawa rakyat Gaza dan memburukkan lagi situasi ekonomi dan kemanusiaan,” katanya.
Pada Januari, Amerika Syarikat membuat pemotongan drastik dalam memotong sumbangannya kepada agensi PBB untuk pelarian Palestin UNRWA.
Hubungan antara pentadbiran AS dan Pihak Berkuasa Palestin semakin tegang selepas Trump mengumumkan keputusan AS untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Rakyat Palestin menggantung hubungan dengan pentadbiran negara itu dan menganggap ia tidak boleh lagi memainkan peranan sebagai pengantara dalam proses damai di Timur Tengah.
Keputusan untuk menghentikan bantuan kepada rakyat Palestin itu dibuat ketika krisis kemanusiaan memuncak di Gaza, yang mana berlaku keganasan sejak bantahan dibuat oleh rakyat Palestin sejak Mac lalu.
Kira-kira 171 rakyat Palestin dibunuh oleh Israel ketika demontrasi berhampiran sempadan Israel. – AFP, 25 Ogos, 2018
Komen