LEBIH 200 orang ditahan atas tuduhan bunuh dalam tempoh sehari di seluruh Brazil pada Jumaat berikutan operasi besar-besaran oleh kerajaan negara itu dalam membanteras kekerasan.
Keseluruhannya, kira-kira 1,000 orang ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh 6,600 anggota polis di seluruh negara itu, menurut angka yang dikemaskini kementerian keselamatan awam Brazil.
Operasi itu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membanteras kegiatan jenayah yang semakin berleluasa di Brazil, termasuk peningkatan dalam jenayah kekerasan, atau pembunuhan terutamanya melibatkan wanita.
Menjelang tengah hari semalam, 1,027 orang dewasa dan 75 remaja bawah umur ditahan, menurut pihak berkuasa.
Daripada jumlah tersebut, 14 orang ditahan atas dakwaan jenayah kekerasan dan 143 lagi dituduh di bawah jenayah berkaitan undang-undang Maria da Penha, yang mana hukumannya ditingkatkan bagi kesalahan keganasan rumah tangga.
Antara lain yang ditahan adalah 225 orang atas tuduhan bunuh, 224 atas kesalahan penyalahgunaan dadah serta memiliki senjata api secara haram dan 421 orang lagi ditahan atas kesalahan jenayah lain.
Menteri keselamatan awam Raul Jungmann berkata fokus utama adalah keganasan terhadap wanita.
“Apa yang penting bagi kami adalah melindungi nyawa dan membanteras jenayah kekerasan, jenayah yang kejam dan tidak dapat diterima,” katanya.
“Ada sesetengah jenayah lebih serius dan menjijikkan, terutamanya ke atas wanita.”
Laporan tahunan sebuah Forum Keselamatan Awam Brazil mendapati jumlah kes pembunuhan kekal meningkat setiap tahun. Secara purata terdapat lebih tujuh kes bunuh berlaku dalam tempoh satu jam di negara terbesar di Amerika Latin itu.
Terdapat peningkatan enam peratus kes bunuh melibatkan wanita pada 2017. – AFP, 25 Ogos, 2018
Komen