HOSPITAL bersiap sedia dengan anti bisa dan mangsa banjir yang kembali ke rumah masing-masing di Kerala, India diingatkan supaya berhati-hati kerana air surut akan menyebabkan ular berkeliaran.
Laporan media tempatan memberi amaran udang mungkin “bersembunyi dalam almari” atau bawah permaidani, dalam kepulan baju atau di dalam mesin basuh di rumah yang sebelum ini tenggelam dalam air banjir.
“Ular dikesan di kebanyakan rumah yang dilanda banjir dan amaran dikeluarkan untuk berhati-hati ketika pulang ke rumah,” kata jurucakap kerajaan Kerala, Subhash T.V.
“Hospital juga dilengkapi dengan peralatan untuk berdepan dengan situasi itu. Arahan sudah diberikan untuk menyediakan kemudahan bagi merawat mangsa gigitan ular.
“Anti bisa dan ubat-ubatan lain disimpan di semua hospital, terutama kawasan yang teruk dilanda banjir,” katanya.
Beberapa hospital di kawasan teruk dilanda banjir di utara dan tengah Kerala melaporkan peningkatan jumlah mangsa gigitan ular.
Vava Suresh, seorang penjinak ular berkata beliau menerima 22 panggilan daripada penduduk yang ketakutan dan menangkap lima ular tedung di daerah Ernakulam.
“Satu ditemui di dalam almari di tingkat dua sebuah rumah, sementara seekor lagi di dalam rak di dalam rumah.”
Pihak berkuasa dan pakar hidupan liar membentuk satu pasukan bantuan untuk mereka yang menemui ular di rumah mereka.
Kira-kira sejuta orang masih berada di kem sementara walaupun banjir yang menyebabkan 420 orang maut dan hilang, sudah surut.
Kerajaan berkata lebih 10,000km jalan musnah atau rosak teruk sementara 50,000 rumah hanyut. – AFP, 24 Ogos, 2018.
Komen