SYARIKAT penerbangan utama Perancis, Air France, menggantung perkhidmatannya ke Tehran pada September, dan menyalahkan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran yang didakwa akan melemahkan prestasi syarikat itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik pengumuman syarikat tersebut pada Khamis.
Cawangan kumpulan syarikat penerbangan Perancis-Belanda di negara itu, Air France KLM, berkata ia akan menghentikan penerbangannya ke Iran pada 18 September “kerana keuntungan perniagaan yang rendah”.
Syarikat penerbangan itu berkata sejak 4 Ogos, ia mengurangkan perkhidmatannya secara drastik daripada empat kepada satu bagi menampung permintaan yang lemah.
Dua lagi syarikat penerbangan utama Eropah, British Airways dan KLM, juga memutuskan untuk menutup laluan ke Tehran akibat kemerosotan keuntungan.
Pada Mei, AS mengumumkan ia menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dan akan mengenakan semula sekatan ke atas Tehran serta mereka yang berdagang dengannya.
Susulan keputusan AS itu, firma-firma Eropah yang menjalankan perniagaan dengan Iran mempunyai masa sehingga enam bulan untuk menggulung pelaburan. – Bernama, 24 Ogos, 2018.
Komen