SEBUAH mahkamah rayuan Seoul pada Jumaat telah melanjutkan tempoh hukuman ke atas bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye, selama setahun iaitu kepada 25 tahun dalam satu kes rasuah secara besar-besaran yang membawa kepada penyingkiran beliau daripada jawatan itu, lapor agensi berita Yonhap.
Mahkamah Tinggi Seoul turut menaikkan hukuman denda terhadapnya sebanyak 2 bilion won (US$1.78 juta) kepada 20 bilion won.
Bekas presiden berusia 66 tahun itu telah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan denda sebanyak 18 bilion won oleh mahkamah lebih rendah pada 6 April dalam satu keputusan yang kemudian dirayu oleh pihak pendakwaan.
Beliau didakwa bersubahat dengan orang kepercayaannya, Choi Soon-sil, untuk memaksa konglomerat besar, termasuk Samsung, menyumbang sebanyak 77.4 bilion won kepada dua yayasan di bawah kawalan Choi.
Skandal itu telah membawa kepada penyingkiran beliau daripada jawatan presiden oleh Mahkamah Perlembagaan pada Mac tahun lepas.
Pada prosiding rayuan kes itu pada 20 Julai, pihak pendakwaan mengekalkan gesaannya agar mahkamah menjatuhi hukuman penjara 30 tahun dan denda sebanyak 118.5 bilion won ke atas Park.
Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah telah mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Choi namun menaikkan jumlah denda sebanyak 2 bilion won kepada 20 bilion won.
Mahkamah turut mengurangkan hukuman penjara yang dijatuhi ke atas Ahn Jong-beom, bekas ketua pembantu polisi Park, selama setahun kepada lima tahun, dan denda yang dikenakan terhadapnya daripada 100 juta won kepada 60 juta won.
Mahkamah merumuskan bahawa sebahagian daripada sumbangan Samsung kepada satu yayasan Choi sebagai rasuah dan mengetepikan keputusan mahkamah lebih rendah.
Ia berpendapat ada “persefahaman tersirat” antara Park dan Naib Pengerusi Samsung Electronics, Lee Jae-yong, pewaris empayar perniagaan itu, berkaitan usaha Lee untuk memperoleh sokongan kerajaan bagi penggabungan dua kumpulan syarikat, yang dianggap penting kepada penguasaan beliau dalam kumpulan tersebut.
Mahkamah juga bersetuju bahawa Park telah menggunakan pengaruh beliau ke atas perkhidmatan pencen negara, pemegang utama kepentingan dalam satu daripada syarikat Samsung, untuk mengundi memihak kepada Samsung.
Ia turut berpendapat bahawa wang sebanyak 7 bilion won yang disumbang oleh Kumpulan Lotte kepada firma Choi adalah rasuah yang dibayar sebagai pertukaran kepada satu pengumpanan haram.
Pengerusi Kumpulan Lotte, Shin Dong-bin, kini menjalani hukuman penjara 30 bulan dan keputusan rayuan bagi kes itu akan diketahui pada Rabu depan.
Park tidak hadir pada prosiding rayuan itu.
Beliau telah memboikot apa yang disifatkannya sebagai prosiding mahkamah “bermotifkan politik” sejak Oktober tahun lepas, apabila mahkamah melanjutkan penahanannya sebelum hukuman dijatuhkan.
Beliau telah mengkiritik badan kehakiman dan pihak pendakwaan kerana tidak mengendalikan kesnya dengan adil. – Bernama, 24 Ogos, 2018
Komen