BAYARAN balik cukai pendapatan tertangguh hingga enam tahun kerana dana tidak mencukupi dalam Tabung Amanah Bayaran Balik Cukai (TBBC), kata Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabin Samitah hari ini.
Dalam satu kenyataan, Sabin berkata LHDN memaklumkan kepada bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah berkenaan kekurangan itu pada satu mesyuarat bulanan dan meminta peruntukan tambahan untuk bayaran balik cukai.
“LHDN memaklumkan kepada beliau jumlah yang perlu dibayar balik kepada pembayar cukai dan meminta peruntukan tambahan untuk dimasukkan ke TBBC.
“LHDN juga menulis surat secara rasmi kepada Kementerian Kewangan (MOF) berkenaan perkara itu,” katanya.
Bagaimanapun, Sabin tidak mendedahkan jumlah sebenar yang dimohon dan sama ada Kementerian Kewangan memenuhi permohonan LHDN.
“LHDN mengesahkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkenaan kekurangan dana dalam TBBC.”
Pada Rabu, Lim mendedahkan kerajaan berhutang kira-kira RM16 bilion bayaran balik cukai kepada pembayar cukai.
Bayaran balik itu, dari sejak enam tahun lalu, masih belum dibayar kepada syarikat-syarikat (RM12.41 bilion) dan pembayar cukai individu (RM3.62 bilion).
Menurut LHDN, sebanyak RM4.6 bilion tertunggak sejak enam tahun lalu, RM3.5 bilion (4-5 tahun), RM6.1 bilion (2-3 tahun) dan RM1.79 bilion untuk setahun.
“Berdasarkan kepada dana terhad dalam TBBC, LHDN mengutamakan bayaran balik kepada pembayar cukai individu.
“Sehingga 31 Julai, LHDN memproses bayaran balik untuk 90% pembayar cukai individu,” kata Sabin dalam kenyataan itu.
Sabin berkata LHDN akan mempertimbangkan permohonan untuk “menetapkan” bayaran balik terhadap cukai yang perlu dibayar balik untuk tahun kewangan semasa.
“Pembayar cukai akan perlu membuat permohonan ini di pejabat LHDN di mana fail mereka disimpan.”
Katanya, bagi mereka yang tidak memohon untuk penetapan itu, bayaran balik akan bergantung pada ketersediaan wang dalam TBBC. – 24 Ogos, 2018.
Komen