AMERIKA Syarikat (AS) pada Khamis sekali lagi mengesahkan bahawa Setiausaha Negara, Mike Pompeo, telah menggesa Perdana Menteri Pakistan yang baharu dilantik, Imran Khan, untuk memerangi “pengganas” dalam satu perbualan telefon sebelum itu, meskipun perkara tersebut dinafikan oleh Islamabad.
Agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert enggan membuat spekulasi mengapa kedua-dua pihak mempunyai pemahaman yang begitu berbeza berkaitan perbualan telefon itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan terdahulu pada hari yang sama, Nauert berkata Pompeo “telah membangkitkan kepentingan Pakistan untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua pengganas yang beroperasi di Pakistan dan peranan pentingnya dalam mempromosi proses damai Afghanistan.”
Sementara itu, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan, Mohammad Faisal, telah menafikan dakwaan Nauert.
“Pakistan ingin membuat pengecualian terhadap fakta tidak betul yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS berhubung perbualan telefon antara PM Khan & Setiausaha Pompeo,” katanya menerusi akaun Twitter.
“Tidak disebutkan sama sekali dalam perbualan itu mengenai pengganas yang beroperasi di Pakistan. Ini perlu segera diperbetul,” katanya.
Hubungan antara AS dan Pakistan berada dalam keadaan tegang susulan tindakan tindakan Presiden AS Donald Trump pada 1 Januari, menerusi akaun Twitter beliau, yang menuduh Pakistan melakukan “pembohongan dan penipuan” terhadap AS dan menyediakan satu “tempat yang selamat” kepada pengganas meskipun menerima bantuan AS.
Pakistan pula telah menegaskan bahawa bantuan Washington adalah pembayaran balik bagi kos kemudahan darat dan koridor udara yang digunakan dalam operasi AS di Afghanistan, dan bukan bantuan kewangan.
Islamabad turut menolak dakwaan AS bahawa ia menyokong Taliban Afghanistan dan Rangkaian Haqqani yang beroperasi di negara itu. Kedua-dua kumpulan militan itu dianggap oleh Washington sebagai pertubuhan pengganas. – Bernama, 24 Ogos, 2018
Komen