Singapura sekat khidmat kereta sewa persendirian haram


Singapura melarang perkhidmatan teksi atau perkhidmatan kereta sewa persendirian berpemandu tanpa lesen di republik itu. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2018.

SEMUA pemilik kereta persendirian termasuk warganegara Malaysia diminta mematuhi peraturan pihak berkuasa Singapura yang melarang perkhidmatan teksi atau perkhidmatan kereta sewa persendirian berpemandu tanpa lesen di republik itu.   

Mereka perlu mempunyai lesen yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Kenderaan Awam (LTA) bagi menyediakan perkhidmatan itu.

Tanpa lesen sah mereka yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga S$3,000 (S$1=RM2.95) serta penjara sehingga enam bulan.

Menurut satu laporan dua pemandu ditahan dalam satu operasi terhadap kenderaan pendaftaran Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa berpemandu tanpa lesen pada 17 Ogos lepas.

Kenderaan yang ditahan itu mungkin akan dilucut hak, menurut portal berita Today.

Menurut laporan itu LTA menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan panas seperti Lapangan Terbang Changi, Marina Bay Sands dan Ban San Street.

Kegiatan haram itu bukan perkara baharu dan pemandu Singapura yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa berpemandu mendapati jumlah kereta berdaftar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan itu semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Today melaporkan sekurang-kurangnya lima syarikat yang berpangkalan di Malaysia – Big World Transport, Ben Travel, 168 Go Heng, Ace Transport dan HBC Transport Agency – menawarkan perkhidmatan itu di Singapura.

Kos perjalanan sehala bagi empat penumpang kenderaan Malaysia tujuh tempat duduk adalah antara $50 dan S$80, kata operator perkhidmatan itu.

Sebelum operasi pada 17 Ogos itu,  LTA melaporkan mengambil tindakan terhadap tiga kes dalam separuh masa pertama tahun ini, 10 kes tahun lepas dan tujuh kes pada 2016. – Bernama, 24 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen