SEORANG kanak-kanak berusia 9 tahun yang juga novis Buddha maut selepas dipukul oleh sami Thailand yang didakwa berulang kali memukulnya dengan rotan dan menghempas kepalanya ke tiang, kata pihak berkuasa hari ini.
Sami Suphachai Suthiyano, 64, marah dan mengamuk ketika sesi sembahyang berlangsung pada hujung minggu lalu ketika pelatih muda itu mengganggu upacara berkenaan dengan “kenakalannya”.
Sami terbabit didakwa menyerang Wattanapol Sisawad dengan rotan di sebuah kuil di Kanchanaburi, kira-kira dua jam perjalanan ke barat Bangkok, menyebat belakang badannya beberapa kali sebelum menghempas kepala mangsa ke tiang.
Kanak-kanak itu koma dan meninggal dunia pada Khamis, kata seorang kakitangan hospital di Kanchanaburi.
Insiden itu berlaku ketika Thailand, negara majoriti Buddha bergelut dengan pelbagai skandal lain termasuk peras ugut, seks dan penggunaan dadah.
Suspek yang digantung daripada tugas pada Ahad susulan penahanannya, didakwa awal minggu ini atas tuduhan menyerang.
Ketua polis Amnaj Chunbult berkata pertuduhan itu akan disemak semula kepada “menyerang hingga menyebabkan kematian” sebaik saja beliau menerima pengesahan rasmi.
Ibu kanak-kanak itu, Sukunya Tunhim memberitahu media Thailand bahawa beliau tidak akan memaafkan sami itu.
Bedah siasat rasmi dikatakan sudah selesai dijalankan dan waris mangsa sudah menuntut mayatnya.
Kepercayaan Buddha berkait rapat dengan cara hidup harian di Thailand menjadikan adalah perkara biasa bagi lelaki, malah kanak-kanak untuk tinggal di kawasan biara sebagai pelatih sami atau rahib. – AFP, 24 Ogos, 2018.
Komen