Lelaki bayar tunggakan nafkah pada bekas isteri guna duit syiling


Berbelas-belas karung seberat 890 kilogram yang berisi wang syiling berjumlah 152 juta rupiah (AS$10,500) dibawa ke mahkamah orang seorang lelaki bagi membayar tunggakan nafkah kepada bekas isterinya. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2018.

SEORANG penjawat awam Indonesia membayar alimoni (nafkah) sebanyak AS$10,000 kepada bekas isterinya menggunakan wang syiling.

Dwi Susilarto tiba di mahkamah semalam bersama berbelas-belas karung seberat 890 kilogram yang berisi wang syiling berjumlah 152 juta rupiah (AS$10,500).

Peguam Susilarto menafikan dakwaan bahawa anak guamnya cuba untuk menghina bekas isterinya Hermi Setyowati.

Lelaki bergaji rendah itu terpaksa meminta pertolongan rakan-rakannya selepas mahkamah di bandar Karanganyar dekat Jawa Tengah mengarahkan beliau supaya membayar tunggakan nafkah selama sembilan tahun, kata peguam Sutarto.

“Saya sendiri terkejut (dengan pembayaran itu), tetapi anak guam saya berkata wang tersebut didermakan oleh rakan-rakan dan keluarganya yang kebanyakannya memberikan wang syiling,” katanya kepada AFP, hari ini.

“Tidak ada niat untuk menghina sesiapa - itu sahaja yang dia ada.”

Setyowati, yang akhirnya tetap menerima wang tersebut, berkata beliau tidak percaya dengan alasan suaminya itu.

“Ini betul-betul menghina - ini seperti mengatakan yang saya miskin,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Mahkamah mengarahkan kakitangannya mengira wang syiling tersebut. – AFP, 24 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen