KETUA staf kepada bekas presiden Sri Lanka Mahinda Rajapakse didakwa hari ini kerana menyeleweng berjuta dolar daripada syarikat insurans negara.
Mahkamah yang baru ditubuhkan untuk menyiasat kes rasuah besar itu memulakan tugasnya dengan mendengar kes terhadap pegawai khas Rajapakse, Gamini Senarath dan tiga yang lain didakwa menyeleweng 500 juta rupee (AS$3 juta).
Empat tertuduh itu didakwa mengambil wang berkenaan ketika pembinaan hotel di ibu kota Colombo yang sepatutnya diuruskan oleh kumpulan Hyatt, kata pendakwa raya.
Kerajaan Sri Lanka pada Mei mengumumkan penubuhan mahkamah khas untuk mempercepatkan kes-kes berprofil tinggi, susulan kritikan sistem keadilan selepas Presiden Maithripala Sirisena menjawat jawatan itu pada 2015.
Beliau berjanji untuk menghukum anggota pentadbiran terdahulu yang didakwa mencuri sejumlah besar wang ketika pemerintahan berdekad lamanya oleh Rajapakse.
Mahkamah dikawal ketat hari ini di mana empat tertuduh itu dibenarkan ikat jamin 1.1 juta rupee setiap seorang.
Hakim juga membenarkan rayuan pembela untuk mengkaji pertuduhan dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 19 September.
Kakitangan awam paling kanan dalam kerajaan Rajapakse iaitu Lalith Weeratunga disabitkan bersalah kerana menyeleweng AS$4 juta dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.
Dua daripada tiga anak lelaki bekas presiden itu turut didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram dan saudara mereka yang lain berdepan tuduhan rasuah.
Rajapakse disoal siasat oleh polis minggu lalu berhubung kes penculikan dan penderaan seorang wartawan pada 2008.
Bekas presiden itu menafikan semua salah laku dan mendakwa kerajaan baharu sengaja mencari salahnya. – AFP, 24 Ogos, 2018.
Komen