PRK Balakong tambah hangat dengan ceramah berhampiran MCA, DAP


Gan Pei Ling

MCA merayu pengundi Balakong menghantar calonnya Tan Chee Teong ke DUN Selangor yang kini hanya ada 5 wakil rakyat pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Ogos, 2018.

JARAK “trak perang” mereka tak sampai 50 meter antara satu sama lain, tetapi ia tidak menghalang kempen Pakatan Harapan dan MCA untuk Pilihan Raya Kecil Balakong berlaku di Taman Megah malam tadi.

Sejumlah 50 penyokong hadir mendengar ucapan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong dan bekas naib presiden Gan Ping Sieu, sementara 120 orang turut bertepuk tangan dan bersorak mendengar ceramah PH yang mengimbau kemenangan rakyat 9 Mei lalu.

Kedua-dua pihak boleh mendengar ucapan lawan masing-masing. Beberapa anggota polis turut hadir mengawal keadaan, tetapi tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Wee merayu pengundi untuk memenangkan calon MCA Tan Chee Teong ke Dewan Undangan Negeri Selangor yang mempunyai 56 kerusi tetapi hanya lima wakil pembangkang- empat Umno, seorang PAS- berada di dalamnya.

Tan menentang calon PH Wong Siew Ki pada pengundian 8 September ini yang berlaku disebabkan kematian penyandangnya Eddie Ng kerana kemalangan kereta 20 Julai lalu.

Beliau juga mengalu-alukan sokongan PAS, berkata musuh bersama mereka DAP juga pernah bekerjasama dengan parti Islam itu untuk membentuk Pakatan Rakyat yang kini tinggal sejarah untuk mengalahkan Barisan Nasional.

Gan pula menggesa pengundi memberikan peluang kepada MCA untuk bangkit semula selepas kalah teruk pada PRU14 lalu. Parti kaum Cina itu hanya menang satu kerusi Parlimen dan dua kerusi negeri.

Penceramah DAP mewakili PH pula mengingatkan rakyat yang kegagalan MCA untuk jadi penyemak dan penyeimbang parti utama BN, Umno menyebabkan kerajaan PH sekarang perlu bekerja keras membetulkan kerosakan negara ditinggalkan pentadbiran BN.

Exco Selangor dan Adun Kota Kemuning V Ganabatirau pula berkata pengundi Balakong tidak boleh memaafkan MCA dan BN kerana mengheret negara ke kancah hutang RM1 trilion. – 24 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen