Jangan sebar maklumat palsu dan cetus suasana panik, kata menteri Sarawak


Desmond Davidson

MENTERI Sarawak menggesa agar penyebaran maklumat palsu berhubung wabak anjing gila atau rabies di negeri itu dihentikan. Dalam masa yang sama, ahli politik yang didakwa “pakar bercakap” juga perlu berhenti cetuskan suasana panik dalam masyarakat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Prof Dr Sim Kui Hian yang mengadakan pemerhatian terhadap kesihatan untuk Kabinet negeri itu turut menyelar mereka yang memberi cadangan dan mengkritik kerajaan negeri mengenai cara wabak itu ditangani.

Beliau tidak menamakan sesiapa, namun gesaan itu timbul selepas kenyataan pemimpin DAP Sarawak, iaitu ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen, pembantunya Dr Kelvin Yii dan ahli dewan undangan negeri Bukit Assek Irene Chang mengenai perkara itu.

Sekiranya kerajaan negeri mengikut nasihat mereka dan menempatkan semua kes gigitan anjing yang dilaporkan di wad, hospital akan penuh dan tiada ruang untuk pesakit lain,” kata Dr Sim pada satu program yang diadakan di sekolah Stampin.

Chong bagaimanapun gagal membawa isu rabies ke Dewan Rakyat di Kuala Lumpur awal minggu ini dan  ketika pulang ke Kuching, kerajaan negeri dituduh tidak proaktif menangani anjing liar. Chong mencadangkan anggota tentera dikerah untuk membantu menangkap anjing liar serta menandakan kawasan kuarantin di mana anjing perlu diberi vaksin.

Katanya jumlah anjing liar yang dijangkiti wabak itu meningkat dan menuduh pihak berkuasa gagal mengawal anjing liar dengan sempurna, walaupun tahu anjing liar ini pembawa dan penyebar virus itu.

Menurut Chong, kerajaan Sarawak perlu “menekan butang panik untuk memastikan kita berada di hadapan virus berkenaan dan tidak ketinggalan di belakang.

Dr Sim berkata cadangan yang dibuat “pakar bercakap” itu hanya akan membawa kepada salah urus dan pembaziran sumber.

Dia turut menyatakan rasa kesal dengan penyebaran mesej WhatsApp sehingga memerlukan jawatankuasa bencana negeri mengumumkan ia palsu dan menjelaskan kawasan berpenduduk padat di Petra Jaya bebas daripada wabak itu.

Polis Sarawak kini menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat pihak jawatankuasa berkenaan mengenai mesej palsu itu.

Setakat semalam, Jabatan Kesihatan negeri mengesan 1,075 orang yang digigit anjing sejak 1April lalu. Semalam sahaja, 59 kes baru gigitan anjing dilaporkan jabatan itu.  – 29 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen