RUSIA akan menentang permohonan AS kepada Majlis Keselamatan PBB untuk menyenaraihitamkan dua syarikat perkapalan dan enam kapal berdaftar di Rusia kerana urusan perniagaan mereka dengan Korea Utara, kata duta Rusia pada Khamis.
Amerika Syarikat membentangkan permohonan kepada Jawatankuasa Sekatan PBB pada Rabu- cubaan ketiganya dalam tempoh dua bulan- supaya PBB bertindak menekan Korea Utara menghapuskan program nuklear dan peluru berpandunya.
Permohonan itu dibuat selepas Washington melakukan sekatan unilateral ke atas dua syarikat Rusia- Primorye Maritime Logistics dan Gudzon Shipping- dan enam kapal lain kerana membekalkan minyak kepada Korea Utara seterusnya melanggar sekatan PBB.
Duta Rusia Vassily Nebenzia memberitahu AFP yang sekatan AS itu adalah “haram” dan bukti dikemukakan AS untuk bertindak ke atas syarikat Rusia “tidak menyakinkan.”
“Sudah tentu kami akan menentangnya,” kata Nebenzia berkenaan permohonan AS kepada Jawatankuasa Sekatan.
AS sedang memohon pembekuan aset seluruh dunia dua syarikat Rusia itu, menurut diplomat PBB.
Syarikat itu merupakan pemilik kapal tangka M/V Patriot yang melakukan pemindahan minyak kapal ke kapal kepada kapal Korea Utara sebanyak dua kali tahun ini, menurut pegawai AS.
Lima lagi kapal disebut dalam permohonan AS pula milik Gudzon, bersama-sama dengan Primorye Maritime Logistics yang beroperasi di Vladivostok, Rusia.
Jawatankuasa PBB mempunyai masa sehingga 29 Ogos untuk mempertimbangkan permohonan AS, tetapi Rusia dengan jelas menyatakan ia tidak menyokong.
Rusia dan China bulan ini menghalang cubaan AS untuk menambah bank Rusia, seorang pegawai Korea Utara dan dua entity lain ke dalam senarai sekatan PBB. Pada Julai, mereka menangguhkan permohonan AS untuk membatalkan penghantaran minyak ke Korea Utara.
Tahun lepas, Majlis Keselamatan melaksanakan tiga sekatan eksport ke atas bahan mentah dan barangan lain dari Korea Utara dan menyekat import barangan lain termasuklah minyak.
Sekatan itu bermatlamat menghapuskan sumber pendapatan untuk program ketenteraan Korea Utara. – AFP, 24 Ogos, 2018.
Komen