SATU pasangan suami isteri Indonesia yang gila sukan menamakan bayi mereka “Asian Games” sempena negara itu menjadi tuan rumah temasya sukan kedua terbesar dunia itu.
Bayi perempuan itu-nama penuh Abidah Asian Games- dilahirkan sebulan lebih awal di Palembang, beberapa jam sebelum majlis perasmian sukan berlangsung, kata ibu bapanya kepada AFP pada Selasa.
“Kami sudah ada nama pertama untuknya tetapi tidak ada nama terakhir,” kata ayahnya, Yordania Denny sambil memangku anaknya di ruang tamu rumah mereka di utara Palembang.
Jadi pasangan tersebut yang kini mempunyai tiga anak mengambil inspirasi daripada apa yang mereka sifatkan detik “bersejarah” negara itu.
“Acara begitu jarang sekali berlaku. Hanya berlaku beberapa tahun sekali. Dan ia berlaku di Palembang- jarang Palembang jadi tuan rumah acara sebegitu.”
Penduduk kota itu sangat bangga kerana jadi tumpuan antarabangsa, dengan sepanduk di kibarkan di jalan dan banyak restoran menayangkan siaran lansung temasya itu.
Walaupun begitu, ibu bapa tersebut berkata mereka akan membenarkan Abidah Asian Games untuk menukar namanya di masa depan jika anak tersebut tidak menyukainya.
Sukan Asia bermula pada 18 Ogos hingga 2 September dihadiri 17,000 atlet dan pegawai dan diadakan di Jakarta dan Palembang. – AFP, 24 Ogos, 2018.
Komen