SEORANG lelaki berusia lingkungan 30-an telah menikam dua individu sehingga mati dan mencederakan seorang lain sebelum dia maut ditembak polis dalam satu insiden di Trappes, yang terletak di Paris, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan pada Khamis.
“Operasi polis telah berakhir. Individu terbabit telah dineutralkan,” kata polis Paris menerusi Twitter dan menggesa orang ramai menjauhi kawasan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Mangsa yang maut adalah ibu dan adik suspek, lapor Reuters.
Ia juga berkata kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Insiden itu berlaku pada kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan.
Lelaki itu telah membunuh mangsa di sebatang jalan dan selepas mengalami kecederaan parah kerana ditembak polis, dia berlindung dalam sebuah rumah di mana dia menghembuskan nafas terakhirnya akbit kecederaan yang dialami, lapor BFM TV.
Penyerang berada dalam senarai pemerhatian perkhidmatan perisikan bagi radikalisasi dan apologia bagi keganasan, menurut laporan itu. – Bernama, 23 Ogos, 2018
Komen