.jpg)
KIRA-kira 100 hari lalu rakyat Malaysia telah membuat keputusan untuk menukar kerajaan yang bertakhta di persada kuasa selama 6 dekad diturunkan secara aman. Tanpa sebarang pertumpahan darah atau sebarang keganasan. Syabas kepada semua pihak termasuk mantan PM yang menerima keputusan rakyat ini secara terbuka.
Lalu bermulalah satu episod baru dalam sejarah Malaysia. Kerajaan Pakatan Harapan memulakan langkah mengemudi harapan rakyat. Rakyat dari segala bangsa mula menerima hakikat dan risiko perubahan yang dilakukan.
Bangsa Melayu yang ikut serta dalam perubahan ini sudah tentu juga berasa sedikit sebanyak janggal. Masih ada kelompok yang termangu-mangu cuba untuk menyesuaikan cara bertindak dalam kerangka politik baru ini. Umno sudah kehilangan kuasa dan pengaruh. Satu-persatu parti yang bergabung dalam Barisan Nasional mula angkat kaki lantas mengembalikan formula BN kepada Perikatan.
Umno sebuah parti yang berasaskan perjuangan Melayu sentiasa menjadikan ‘Ketuanan Melayu’ sebagai obor perjuangannya. Menerusi asas perjuangan ini Umno berjaya menggamit keyakinan orang Melayu untuk mendokong perjuangannya.
Umno menikmati dengan penuh keseronokan sokongan ini yang menjadikan ia sebagai parti paling berpengaruh di Malaysia. Kedudukan ini menjadikan Umno boleh berbuat apa sahaja. Dari menekan bangsa lain untuk menerima keputusan yang dilihat amat tidak adil seperti agihan kekayaan negara kepada Sabah dan Sarawak sehinggalah menindas bangsa sendiri dengan mengutamakan kroni atas nama pembelaan bangsa Melayu.
Kerosakan yang dibuat oleh Umno ini seolah-olah mereka tidak akan jatuh untuk selama-lamanya. Segala manipulasi sistem dilakukan tanpa batasan.
Kini setelah berlalu PRU ke 14, Umno bukan lagi ditampuk kuasa. Orang Melayu perlu menyesuaikan diri dengan kerangka baru politik hari ini. Segala perkara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan masih lagi kekal tanpa sebarang perubahan.
Fungsi dan kedudukan Raja-raja Melayu sedikit pun tidak terusik. Malah Raja-raja Melayu yang dipimpin oleh KDYMM YDP Agong telah memainkan peranan dengan berkesan dalam menjamin kestabilan kerajaantatkala melalui perubahan ini.
Masih ada dalam kelompok orang Melayu yang terhimbau dengan Umno. Mereka terus meratapi kehilangan Umno dengan menimbulkan isu-isu yang sensitif bagi menghidupkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan PH hari ini. Mereka mahu rakyat khususnya orang Melayu berkata ‘Jika Umno masih berkuasa tidak wujudlah perlakuan biadab seperti ini. Alangkah baiknya jika Umno masih berkuasa.’
Rintihan orang Melayu ini tidak diberikan perhatian pun oleh orang Umno. Lihat sahaja barisan kepimpinan baru yang dipilih baru-baru ini. Kemenangan beberapa individu yang sinonim dengan kebobrokan kuasa dan akhlak telah dipilih untuk menerajui Umno bagi 3 tahun akan datang. Jelas Umno tidak berubah atau berasa serik dengan nasib yang menimpa mereka, Mereka telah tercabut dari akar perjuangan asas iaitu memperjuangkan nasib orang Melayu.
Kehodohan wajah Umno ini terus diserlahkan pada PRK Sungai Kandis. Kurangnya bendera dan poster berbanding PRU terdahulu, kurangnya aktiviti dan publisiti murahan yang cuba diraih menerusi pertembungan calon ketika ‘walk about’ menyerlahkan Umno yang masih belum kebah dari sakitnya.
Kita semua tahu kekayaan para pemimpin Umno. Di PRK Sg Kandis terlihat betapa para pemimpin Umno segan untuk mengeluarkan belanja bagi membantu kempen calon mereka sendiri. Lantas ini memperlihatkan masa yang panjang yang perlu diambil untuk mengembalikan kekuatan Umno.
Bagi mengembalikan Umno ke puncak kuasa seperti sebelum ini, satu lagi formula yang perlu ada ialah formula Barisan Nasional atau kerjasama antara parti politik. Dalam keadaan hari ini, formula ini masih jauh untuk diperolehi oleh Umno.
Situasi ini membuatkan orang Melayu perlu memposisikankedudukan mereka dalam kerangka politik baru ini. Mengharapkan Umno kembali bersama BN adalah harapan yang jauh panggang dari api.
Ada pihak yang sengaja menimbulkan isu dan konflik agar Melayu jatuh kembali ke dalam politik perkauman. Satu demi satu isu ditimbulkan agar orang Melayu sangsi dan hilang keyakinan terhadap kerajaan hari ini.
Segala isu yang ditimbulkan berakhir pada kemarahan dan kebencian. Tanpa ada langkah-langkah yang lebih kukuh bagi menyelesaikan masalah. Isu ekonomi, isu pendidikan, isu sosial memerlukan kerahan kesungguhan dan iltizam yang tinggi untuk diselesaikan bukan sekadar kemarahan yang meluap-luap menyatakan rasa tidak puas hati.
Sudah tentu bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul memerlukan penglibatan semua pihak. Pendekatan inklusif perlu membabitkan kelompok yang ‘marah’ agar tenaga yang disalurkan untuk kemarahan dapat ditukar kepada komitmen perubahan.
Memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu bukanlah satu kesalahan. Ia perlu berdasarkan prinsip-prinsip universal yang menekankan keadilan dan kemanusiaan sejagat. Hak istimewa orang Melayu bukan satu senjata untuk menghalalkan segala tuntutan yang berbau perkauman tetapi ia adalah untuk membina kerukunan hidup bernegara.
Pengiktirafan kewujudan pelbagai agama adalah selari dengan semangat sahifah Madinah. Sudah barang pasti pemaksaan erti kebenaran terhadap sesuatu agama adalah satu usaha yang sia-sia dan jelas melanggar prinsip kebebasan beragama.
Umat Islam di Madinah akhirnya mampu membina sebuah negara yang amat dihormati. Banyak suku kaum dan bangsa akhirnya menjalinkan hubungan diplomatik dan ekonomi lalu mencetuskan ancaman terhadap kemakmuran Mekah. Umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W diangkat sebagai saksi (shuhada’) atas sifat mereka yang sederhana (lawan kepada ghuluw), adil dan prihatin.
Menerusi interaksi yang berterusan dengan kelompok musyrikumat Islam mampu menambat hati kelompok lain untukbersama mereka mempertahankan kerajaan Madinah. Inilahkebijaksanaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.wbersama para sahabat yang akhir hidup bersama secaraharmoni tanpa mengorbankan prinsip asas Islam. – 23 Ogos, 2018
* Amini Abdul Manan merupakan Timbalan Pengerusi Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen