TAUFAN kuat Cimaron diramalkan menghala ke arah barat Jepun hari ini, dengan jabatan kaji cuaca memberi amaran hujan lebat dan tanah runtuh dijangka berlaku, termasuk di kawasan yang dilanda banjir buruk bulan lalu.
“Semua diminta sentiasa berjaga-jaga dan ambil tindakan yang perlu,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe kepada Kabinet dan pegawai ketika mesyuarat persediaan menjelang taufan.
Abe menggesa kerajaan tempatan mengeluarkan arahan perpindahan dan mengambil langkah yang perlu tanpa “takut”.
Agensi Meteorologi Jepun berkata taufan Cimaron dijangka membawa angin dengan kelajuan 216km sejam.
Menurut agensi, ia terletak kira-kira 260km di tenggara Ashizuri, di pantai pulau Shikoku, barat Jepun kira-kira jam 3.00 pagi waktu tempatan, semalam.
Taufan itu dijangka melanda lewat petang hari ini dan berlanjutan hingga esok pagi, membawa angin kuat dan hujan.
“Diminta semua terus berjaga-jaga jika berlaku tanah runtuh, banjir di kawasan tanah rendah, banjir di sungai, ribut dan gelombang pasang surut,” kata agensi cuaca.
Ketua penyelidik agensi meteorologi Ryuta Kurora berkata taufan itu boleh menyebabkan pelbagai fenomena berbahaya seperti angin kencang dan pasang surut secara serentak pada waktu malam.
“Sila berpindah lebih awal,” katanya. – AFP, 23 Ogos, 2018.
Komen