Pakar anestetik warga Malaysia didakwa bunuh guna bola yoga


MAHKAMAH Hong Kong hari ini diberitahu seorang pakar anestetik warga Malaysia menggunakan bola yoga diisi dengan gas karbon monoksida untuk membunuh isteri dan anak perempuannya.

Pendakwa raya memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Khaw Kim-sun meletakkan bola itu di dalam bonet kereta di mana gas kemudian bocor dari bola itu dan membunuh mereka.

Isteri tertuduh dan anak perempuan mereka berusia 16 tahun didapati maut di tepi jalan dalam sebuah kereta Mini Cooper warna kuning yang terkunci pada 2015.

Kes itu pada awalnya mengelirukan polis.

Kedua-dua mangsa disahkan maut di hospital yang sama di mana Khaw bekerja dan bedah siasat mendapati mereka meninggal dunia kerana terhidu gas karbon monoksida.

Polis menemui bola yoga yang sudah kempis di belakang kereta.

Khaw mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan membunuh.

Pendakwa raya berkata, Khaw, 53, menjalinkan hubungan sulit dengan pelajarnya dan isterinya tidak bersetuju untuk bercerai.

Mereka mendakwa Khaw sengaja merancang membunuh isterinya, lapor South China Morning Post.

Pendakwa raya berkata Khaw mungkin tidak berniat untuk membunuh anak perempuannya.

Mahkamah hari ini mendengar bahawa polis yang menemu bual Khaw berkata beliau mendesak anak perempuannya tinggal di rumah dan menyiapkan kerja rumah pada hari pembunuhan itu.

Khaw dilihat mengisi dua bola dengan karbon monoksida di Universiti China, di mana beliau ialah pensyarah bersekutu di situ.

Tertuduh memberitahu rakan sekerjanya beliau mahu menggunakan gas itu kepada arnab tetapi kemudian memberitahu kepada polis gas itu digunakan untuk membuang tikus di rumah.

Perbicaraan bersambung esok. – AFP, 23 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen