KERAJAAN India menolak secara baik bantuan asing untuk memulihkan semula Kerala yang teruk terjejas akibat banjir meskipun kira-kira sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal ketika pentadbiran negeri tersebut bertungkus-lumus menangani kemusnahan yang disebabkan oleh bencana itu.
Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Maldives adalah antara negara yang menawarkan bantuan dalam kerja-kerja pemulihan serta pembinaan semula negeri di selatan India itu, yang terjejas teruk akibat dilanda hujan lebat dan banjir.
“Kerajaan India amat menghargai tawaran beberapa negara, termasuk kerajaan asing, bagi membantu usaha-usaha pemulihan selepas banjir tragik di Kerala.
“Selaras dengan dasar sedia ada, kerajaan komited untuk memenuhi keperluan bagi menyalurkan bantuan dan pemulihan menerusi usaha-usaha domestik,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India.
Kementerian itu, bagaimanapun berkata India akan menerima sumbangan asing yang disalurkan kepada Dana Bantuan Perdana Menteri dan Dana Bantuan Ketua Menteri daripada penduduk berketurunan India bukan pemastautin (NRI), orang India yang merupakan rakyat negara lain, serta yayasan antarabangsa.
Bencana itu meragut 400 nyawa di Kerala dan mengakibatkan kemusnahan besar-besaran kepada infrastrukturnya dan menyebabkan sejumlah 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Beribu-ribu lagi masih terkandas dan amat memerlukan bekalan penting.
Kerajaan persekutuan memperuntukkan enam bilion rupee (kira-kira AS$85 juta) sebagai bantuan, namun keengganan menerima dana asing bermakna Kerala tidak akan mendapat bantuan sebanyak AS$100 juta yang ditawarkan oleh UAE.
Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan, berminat untuk menerima bantuan UAE dan menggesa kerajaan pusat memberikan pampasan kepada negeri itu jika ia menolak dana asing.
“Kami mendengar terdapat beberapa halangan dalam menerima dana ini. Kami akan berbincang dengan kerajaan dan bertemu perdana menteri,” kata Vijayan kepada media India.
Beliau berkata UAE “tidak boleh dianggap sebagai sebarang negara lain” kerana pemerintahnya mengiktiraf sumbangan rakyat Kerala dalam kemajuan negara itu.
Pekerja dari Kerala membentuk satu bahagian yang signifikan daripada sejumlah tiga juta komuniti ekspatriat India di UAE. – Bernama, 23 Ogos, 2018.
Komen