VENEZUELA kini memohon perintah untuk mengekstradisi sembilan rakyatnya yang didakwa terlibat dalam “percubaan membunuh” Presiden Nicolas Maduro, kata seorang pegawai tinggi kerajaan pada Rabu.
Suspek kini dipercayai berada di Amerika Syarikat, Colombia dan Peru, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Ketua Pendakwa Raya Tarek William Saab pada satu sidang akhbar.
“Kami menjangkakan kesemua negara terbabit akan bekerjasama kerana perjuangan menentang keganasan tidak mempunyai sempadan,” katanya.
Jumlah individu yang dikaitkan oleh pihak berkuasa dengan serangan pada 4 Ogos itu meningkat kepada 43 orang.
Setakat ini, 21 individu didakwa secara rasmi.
Saab berkata pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan itu dan mereka yang menyalurkan bantuan dari segi kewangan serta logistik dikenal pasti.
Percubaan membunuh itu dilaporkan berlaku di Caracas ketika Maduro menyampaikan ucapan ketenteraan, yang menyaksikan dua dron sarat dipasang bahan letupan telah melayang ke tempat di mana presiden tersebut berdiri dan meletup.
Meskipun Maduro selamat, beberapa pegawai tentera cedera dalam insiden itu, menurut pihak berkuasa. – Bernama, 23 Ogos, 2018.
Komen