MAHKAMAH Shanghai menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang membunuh dan menyimpan mayat isterinya dalam peti sejuk selama tiga bulan.
Zhu Xiaodong, 31, didapati bersalah kerana mencekik isterinya, Yang Liping sampai mati ketika mereka bertengkar pada 2016, menurut kenyataan yang dibacakan oleh perantara mahkamah.
Menurut laporan media, tertuduh membalut mayat isterinya dengan cadar dan menyembunyikannya dalam peti sejuk di balkoni rumah mereka.
Tiga bulan kemudian, tertuduh menggunakan wang isterinya untuk melancong dan berfoya-foya dengan wanita lain, kata mahkamah.
“Dia berbelanja sesuka hati tanpa rasa bersalah.”
Zhu juga menggunakan akaun WeChat isterinya, menyamar sebagai wanita malang itu untuk berhubung dengan rakan dan saudara-mara.
Namun, tembelangnya pecah apabila bapa mertuanya datang ke rumah bersama saudara-mara untuk menyambut hari lahir.
Kes itu menggemparkan orang ramai di Shanghai dan ibu bapa mangsa mendesak Zhu dikenakan hukuman mati.
Kes itu juga menjadi topik hangat di platform Weibo hingga dibaca sebanyak 40 juta kali dan mencetus puluhan ribu perbincangan. – AFP, 23 Ogos, 2018.
Komen