Lagi tuduhan serangan seksual terhadap Kevin Spacey


PEJABAT peguam daerah Los Angeles menerima aduan serangan seksual kedua terhadap pemenang Anugerah Oscar, Kevin Spacey.

“Satu kes serangan seksual difailkan di pejabat kami semalam (21/8) oleh Jabatan Sheriff Los Angeles melibatkan Spacey. Ia kini sedang diteliti,” Greg Risling dari pejabat pendakwa berkata pada Rabu.

Satu siasatan berasingan telah dibuka pada April selepas seorang lelaki mengadu diserang oleh Spacey pada 1992.

Bagaimanapun, Risling tidak menyatakan butiran mengenai aduan terkini terhadap Spacey, mahupun status kes terdahulu.

Spacey, yang menang Anugerah Akademi dua kali, menerima aduan serangan seksual berikutan kempen #MeeToo yang menyaksikan kejatuhan mogul Hollywood, Harvey Weinstein.

Siasatan juga dibuat terhadap Spacey di London di mana beliau pernah mengarahkan teater The Old Vic antara 2004 dan 2015 dan satu lagi di Nantucket, sebuah pulau peranginan dekat Boston.

Laporan pertama didedahkan kepada umum ialah aktor Anthony Rapp, 46, mendakwa Spacey menderanya secara seksual ketika berumur 14 tahun pada 1986.

Spacey memohon maaf kepada Rapp dan mendakwa tidak ingat mengenai kejadian itu. Bagaimanapun, Spacey hanya mengunci mulut apabila timbul lagi tuduhan terhadapnya.

Seorang pelakon yang enggan namanya didedahkan memberitahu portal Vulture yang Spacey cuba merogolnya yang ketika itu berumur 14 tahun pada 1984.

Kemudian empat anggota produksi siri popular Netflix, “House of Cards” juga mengecam tingkah laku “pemangsa” Spacey.

Selepas tuduhan pertama terhadapnya, Spacey dipecat daripada siri itu pada November. Wataknya dalam filem “All the Money in the World” arahan Ridley Scott juga digantian dengan pelakon Christopher Plummer. – AFP, 23 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen