Arab Saudi mohon hukuman mati terhadap aktivis wanita


Sekurang-kurangnya 12 aktivis hak asasi manusia termasuk lapan wanita, ditangkap sejak Mei - sebelum kerajaan Arab Saudi mengakhiri pengharaman melarang wanita memandu. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2018.

PIHAK pendawa raya Arab Saudi menuntut hukuman mati terhadap lima aktivis hak asasi manusia, termasuk seorang pejuang hak asasi wanita terkenal, kata Pengarah Kempen Amnesty International bagi timur tengah, Samah Hadid.

Antara yang dituduh adalah Israa al-Ghomgham yang didakwa mencetuskan protes golongan minoriti Islam Syiah di wilayah Timur yang kaya dengan minyak.

Beliau adalah aktivis wanita pertama yang mungkin dihukum mati berhubung aktiviti hak asasinya.

“Israa al-Ghomgham dan empat yang lain kini menghadapi hukuman paling dahsyat semata-mata kerana penglibatan dalam protes anti-kerajaan,” kata Hadid.

“Kami menyeru pihak berkuasa Arab Saudi menggugurkan rancangan ini dengan segera.”

Pegawai kerajaan Arab Saudi tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan  untuk memberikan komen.

Ghomgham, aktivis Syiah yang terkenal yang mendokumentasikan demonstrasi besar-besaran di Wilayah Timur bermula 2011, ditangkap di rumah bersama suaminya pada Disember 2015, menurut Human Rights Watch.

“Hukuman mati terhadap Israel al-Ghomgham akan menghantar mesej yang mengerikan bahawa aktivis lain boleh menjadi sasaran dengan cara yang sama bagi aktivisme protes aman dan hak asasi manusia,” kata Hadid.

“Tuduhan terhadap Ghomgham ... adalah tidak masuk akal dan bermotifkan politik untuk mengekang perbezaan pendapat.”

Amnesty berkata sekurang-kurangnya 12 aktivis hak asasi manusia yang lain, termasuk lapan wanita, ditangkap sejak Mei - sebelum kerajaan mengakhiri pengharaman melarang wanita memandu.

Ramai di antara mereka sekian lama menentang pengharaman dan menentang sistem lelaki sebagai “penjaga” - bapa, suami atau sanak saudara lain, yang memerlukan kebenaran mereka untuk melancong atau berkahwin. – AFP, 23 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen