INDIA pada Rabu menolak tawaran kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memberikan AS$100 juta kepada dana khas bagi negeri Kerala selepas tragedi banjir mengorbankan lebih 400 nyawa.
Langkah itu dibuat meskipun gesaan untuk menerima bantuan kerajaan Teluk daripada ketua menteri Kerala yang meminta lebih banyak bantuan berbanding apa diberikan kerajaan India setakat ini.
“Selaras dengan dasar sedia ada, kerajaan komited untuk memenuhi keperluan bantuan dan pemulihan melalui usaha domestik,” kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan yang menjelaskan langkah itu.
Kementerian menambah wang asing hanya boleh disumbangkan melalui individu atau yayasan India.
India pernah menolak untuk menerima bantuan asing selepas bencana seperti selepas tsunami 2004.
Pakar berkata kerajaan India mahu membuktikan mereka boleh mengendalikan keadaan kecemasan sendiri.
India tidak menyebut tawaran UAE secara khusus yang dibuat pada Selasa, hanya mengatakan ia “sangat menghargai tawaran dari beberapa negara, termasuk kerajaan asing, untuk usaha membantu dan rehabilitasi selepas banjir yang tragis”.
Kerajaan Maldives juga menjanjikan bantuan kewangan untuk banjir.
Tetapi keengganan itu mungkin mencetuskan kontroversi politik.
Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan menggesa “rundingan peringkat tinggi” dengan pemerintah negara agar duit UAE boleh diterima.
Tawaran UAE lebih AS$97 juta berbanding dijanjikan oleh kerajaan pusat India. Vijayan meminta pakej bernilai AS$375 juta daripada kerajaan, mengatakan ia berdepan lebih daripada AS$3 bilion kerugian akibat kemusnahan.
Banjir monsun mengorbankan lebih 420 nyawa sejak Jun dengan kira-kira 1.34 juta orang berada di lebih 3,300 kem pelarian di seluruh negeri.
“Seluruh dunia menghulurkan bantuan ke negeri ini,” kata Vijayan.
Jurucakap kerajaan Kerala memberitahu AFP semua operasi menyelamat sudah selesai dan kini tumpuan diberi kepada bantuan segera dan perancangan masa depan.
Ribuan anggota tentera, laut dan udara dikerahkan ke seluruh negeri untuk membantu mereka yang terkandas di kawasan terpencil dan berbukit.
Puluhan helikopter dan juga dron digunakan untuk menghantar bekalan makanan, ubat dan air kepada kampung yang terputus hubungan dalam beberapa hari lalu.
Puluhan ribu orang di seluruh negeri masih bergantung kepada dapur komuniti untuk mendapatkan makanan.
Kerajaan mengatakan lebih 10,000 kilometer (6,000 batu) jalan musnah atau rosak manakala seorang anggota Parlimen berkata 50,000 rumah terjejas.
Terdapat banyak laporan mengenai penduduk dipatuk ular dan kelibat reptilia, malahan buaya, di dalam rumah yang dipenuhi lumpur selepas banjir surut.
Pasukan penangkap ular, pakar dan penyelamat haiwan sibuk menangani panggilan kecemasan untuk menangkap dan melepaskan reptilia dengan selamat ketika penduduk mula kembali ke rumah mereka dalam tempoh 48 jam terakhir. – AFP, 23 Ogos, 2018.
Komen