ARAB Saudi, yang berharap untuk memperoleh berbilion dolar daripada IPO Aramco, membatalkan rancangan mengapungkan syarikat gergasi minyak Aramco di peringkat domestik dan antarabangsa, lapor Reuters.
Memetik sumber senior dalam industri, Reuters berkata semalam penasihat yang membuat cadangan penyenaraian, yang dijadualkan pada tahun ini, telah dibubarkan.
Rancangan untuk mengapungkan Aramco pada kadar 5% adalah sebahagian daripada pembaharuan utama Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mengurangkan ketergantungan kerajaan terhadap minyak, di mana ia adalah pengeksport utama dunia.
Wawasan 2030, yang diluluskan pada April 2016, termasuklah cadangan penswastaan Aramco dan mewujudkan dana kekayaan berdaulat bernilai AS$2 trilion (RM8.2 trilion).
“Keputusan membatalkan IPO dibuat sejak beberapa lama dahulu, tetapi tiada siapa boleh mendedahkanya, jadi kenyataan secara beransur-ansur ke arah itu - mula-mula penangguhan dan kemudian pembatalan,” kata Reuters memetik sumber Arab Saudi.
Para eksekutif Aramco berulang kali mengatakan syarat-syarat pasaran tidak menguntungkan bagi menarik balik permulaan tawaran awam, dengan banyak pemerhati yang ragu-ragu sama ada IPO akan berlaku.
Syarikat gergasi minyak kini sedang mengkaji Plan B untuk mengumpulkan berbilion dolar.
Ketua Eksekutif Aramco Amin Nasser mengesahkan pada Julai dalam kenyataan untuk memperoleh “kepentingan strategik” dalam SABIC, syarikat petrokimia keempat terbesar dunia yang 70% dimiliki oleh Public Invenstment Funda (PIF), laporan AFP.
“Perjanjian SABIC yang berpotensi akan menjejaskan jangka masa untuk IPO Aramco,” kata Nasser kepada televisyen Al-Arabiya, tanpa mengulas lanjut.
Para pemerhati melihat pemerolehan pegangan saham daripada PIF sebagai alternatif yang rumit untuk mendapatkan wang yang sangat diperlukan bagi dana kekayaan kerajaan itu.
SABIC, syarikat awam tersenarai terbesar, mempunyai permodalan pasaran sekitar AS$100 bilion - jumlah yang sama kerajaan cuba dapatkan dengan IPO Aramco.
Bursa saham di London, New York dan Hong Kong bersaing untuk menjadi tuan rumah pengapungan antarabangsa Aramco.
“Mesej yang kami berikan adalah IPO dibatalkan pada masa hadapan yang tidak dapat diramalkan,” kata penasihat kewangan kanan kepada Reuters.
“Malah pengapungan tempatan di Bursa Saham Tadawul juga ditangguhkan,” tambah sumber itu. – 23 Ogos, 2018.
Komen