China ‘usir’ wartawan BuzzFeed


Visa Ketua Biro Berita Beijing BuzzFeed Megha Rajagopalan tidak diperbaharui, tindakan yang sering digunakan pihak berkuasa China untuk "mengusir" wartawan asing yang mengkritik dasar negara itu. – Gambar AFP, 22 Ogos, 2018.

KELAB Koresponden Asing China pada Rabu berkata yang Kementerian Luar secara “berkesan” mengusir ketua biro BuzzFeed News Beijing selepas enggan memperbaharui visanya.

Megha Rajagopalan, warga Amerika dan sudah bekerja di China sejak enam tahun lepas menerusi Twitternya berkata Kementerian Luar “enggan mengeluarkan visa wartawan baharu kepada saya” Mei lalu.

“Mereka kata ini adalah perkara biasa, kami tak pasti mengapa,” tulis Rajagopalan yang meninggalkan negara itu hujung Februari lalu.

Rajagopalan giat melaporkan operasi keselamatan China di daerah Xinjiang, yang menurut kumpulan hak asasi ribuan rakyat Islam keturunan Uighurs ditahan dalam kem pendidikan semula.

Kelab itu dalam kenyataan hari ini berkata Rajagopalan “bertindak mengikut etika kewartawanan tertinggi ketika berada di China”.

Kementerian Luar “enggan memberikan sebab jelas dan telus menolak permohonan visanya,” katanya lagi.

“Kami merasakan sangat dikesali dan tidak boleh diterima untuk kerajaan yang berulang kali mendakwa mereka mengalu-alukan kedatangan wartawan asing,” kata kenyataan itu lagi.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pendek kepada AFP berkata: “Kerajaan China mengendalikan visa wartawan asing di China menurut undang-undang dan peraturan.”

Ini bukan kali pertama wartawan asing tidak diberikan visa baharu.

Wartawan Al-Jazeera Melissa Chan terpaksa meninggalkan China pada 2012 selepas pihak berkuasa enggan memperbaharui visanya.

Pada 2016 pula, wartawan Perancis Ursula Gauthier dipaksa meninggalkan China selepas beliau mengkritik dasar kerajaan di Xinjiang dan pihak berkuasa enggan memperbaharui visanya. – AFP, 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen