Mahkamah dengar permohonan batal keputusan pilihan raya Zimbabwe 


Nelson Chamisa dari parti Pergerakan untuk Perubahan Demokratik (MDC) menuduh parti pemerintah, ZANU-PF dan suruhanjaya pilihan raya memanipulasi undi dalam pilihan raya pada 30 Julai, yang pertama sejak Robert Mugabe digulingkan. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2018.

MAHKAMAH Perlembagaan Zimbabwe mula mendengar petisyen pembangkang yang cuba membatalkan keputusan pilihan raya presiden, walaupun usaha itu dilihat sukar untuk menang meskipun terdapat dakwaan berlakunya penipuan.

Pergerakan untuk Perubahan Demokratik (MDC) menuduh parti pemerintah, ZANU-PF dan suruhanjaya pilihan raya memanipulasi undi dalam pilihan raya pada 30 Julai, yang pertama sejak Robert Mugabe digulingkan.

Ketua Hakim Negara, Luke Malaba memulakan prosiding di mahkamah di Harare yang di kelilingi pengawal keselamatan dan disiarkan di televisyen.

Emmerson Mnangagwa yang menggantikan Mugabe, menang dalam pilihan raya dengan memperoleh 50.8% undi, mengalahkan Nelson Chamisa dari MDC yang memperoleh 44.4% undi.

“Inilah harinya, pasukan kami sudah bersedia. Kami ada segala bukti untuk membuktikannya di mahkamah bahawa pendirian kami adalah betul - parti kami menang pilihan raya,” kata Pengerusi MDC Morgan Komichi kepada pemberita di luar makhamah.

Mnangagwa, yang berikrar akan mengubah ekonomi yang terjejas teruk di bawah Mugabe, berharap pilihan raya tersebut akan menjadikan harapannya itu satu kenyataan. – AFP, 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen