KESATUAN sekerja Belanda pada Rabu berkata mereka akan mengadakan mogok pekerja keselamatan bulan depan di Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam, salah satu lapangan tersibuk dunia.
Lebih 200,000 penumpang bakal terjejas disebabkan mogok yang dijadualkan bermula 4 September itu, menurut agensi berita Belanda, ANP.
Pengumuman itu dikeluarkan kesatuan sekerja selepas desakan hampir dua bulan oleh pekerja keselamatan di seluruh negara supaya persekitaran kerja mereka ditambah baik.
Pekerja keselamatan di Schipol meminta kenaikan gaji 3%, masa sekerja lebih fleksibel dan persekitaran kerja lebih selamat.
“Setakat ini majikan enggan memenuhi tuntutan itu,” kata kesatuan dalam satu kenyataan.
Pengurusan Lapangan Terbang Schipol berkata mereka akan membuat rayuan kepada syarikat keselamatan dan kesatuan sekerja untuk mencapai persetujuan sebelum 4 September. – AFP, 22 Ogos, 2018.
Komen