Gagal jalani kerahan tenaga, penulis Crazy Rich Asians dihendaki Singapura


Kevin Kwan (kanan) yang menetap di AS sejak berusia 11 tahun tetapi masih merupakan warganegara Singapura berdepan hukuman penjara tiga tahun dan denda sekiranya sabit bersalah, kata Kementerian Pertahanan Singapura. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2018.

PENULIS novel Crazy Rich Asians yang diadaptasi menjadi filem Holloywood dihendaki di negara asalnya, Singapura, kerana dituduh mengelak daripada menghadiri kerahan tenaga mandatori negara itu, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Kevin Kwan yang menetap di AS sejak berusia 11 tahun tetapi masih merupakan warganegara Singapura berdepan hukuman penjara tiga tahun dan denda sekiranya sabit bersalah, kata Kementerian Pertahanan Singapura.

Adaptasi filem novel itu yang mengisahkah kehidupan glamour golongan elit kaya Singapura mula ditayangkan di AS sejak minggu lepas dan dianggap memecahkan dominasi filem “kulit putih” Hollywood apabila kebanyakan pelakonnya adalah berketurunan Asia.

Filem itu mengadakan tayangan perdana di Singapura pada Selasa dihadiri beberapa orang pelakon utamanya dan ratusan peminat- tetapi ketidakhadiran Kwan mencetuskan keraguan, lapor akhbar Straits Times.

Seperti sebuah filem thriller Hollywood, Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan mendedahkan yang Kwan “gagal mendaftar untuk Khidmat Negara pada 1990, walaupun notis dan surat dihantar ke alamat luar negaranya.”

“Beliau juga menetap di luar negara tanpa permit keluar yang sah.”

Penulis itu melakukan kesalahan di bawah akta kerahan tenaga dan berdepan denda sehingga SG$10,000 (AS$7,300) dan penjara sehingga tiga tahun sekiranya sabit kesalahan, kata kementerian.

Warga lelaki Singapura diwajibkan menjalani latihan ketenteraan selama dua tahun sebaik sahaja berusia 18 tahun. Mereka boleh berkhidmat dalam tentera, polis atau pasukan pertahanan awam.

Kementerian berkata yang Kwan ada membuat permohonan membatalkan kewarganegaraan Singapura pada 1994, tetapi permohonan dan rayuan ditolak kerana kegagalannya menjalani khidmat negara.

Crazy Rich Asians, filem Holloywood sejak sekian lama yang dibarisi majoriti pelakon Asia mengisahkan seorang wanita keturunan Asia Amerika yang terjebak dalam dunia kumpulan elit kaya Singapura selepas berkunjung ke negara itu bersama teman lelakinya.

Walaupun mendapat sambutan hangat dan dipuji di AS, filem itu dikecam di Singapura kerana memberi tumpuan kepada kumpulan etnik Cina yang kaya dan mengabaikan minoriti negara itu. – AFP, 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen