Bahrain henti keluarkan visa untuk warga Qatar


Negara jiran Qatar memutuskan hubungan dengannya sejak Jun tahun lepas. Bahrain dalam tindakan terbaru menghentikan pengeluaran visa kepada rakyat Qatar serta merta. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2018.

BAHRAIN menghentikan pengeluaran visa kepada warga Qatar, kata Kementerian Dalam Negeri pada Selasa, tindakan terbaru dalam kemelut diplomatik yang sudah berlarutan berbulan lamanya.

Negara kecil tetapi strategik itu memutuskan hubungan dengan Qatar pada Jun tahun lepas. Pemutusan hubungan itu turut dilakukan oleh sekutunya, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tetapi, ia masih mengeluarkan visa kepada warga Qatar yang terletak hanya 40 kilometer dari semenanjung tanah Arab.

Kementerian berkata pengecualian hanya diberikan kepada pelajar Qatar di Bahrain, walaupun visa yang telah dikeluarkan masih sah.

Langkah terbaru itu adalah responds kepada “tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkuasa Qatar yang tidak menghormati hak negara jirannya atau kedaulatan undang-undang antarabangsa,” kata kementerian seperti dilapor agensi berita BNA.

Kedua-dua negara saling menuduh sama sendiri berkaitan pelanggaran ruang udara atau kawasan perairan dan sudah memfailkan beberapa saman melalui tribunal antarabangsa.

Bahrain dan sekutunya mendesak Qatar memutuskan hubungan dengan Ikatan Muslimin dan mengambil pendirian lebih tegas dengan Syiah Iran yang dakwa mereka masuk campur dalam urusan rantau Arab.

Qatar yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 menegaskan yang mereka berhak mempunyai dasar asing yang bebas.

Kemelut diplomatik dan ekonomi itu masih tiada jalan penyelesaian. – AFP, 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen