PENASIHAT keselamatan kepada Presiden AS Donald Trump memberi amaran pada Rabu yang AS akan bertindak “sangat keras” jika Presiden Syria Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia dalam serangan menakluk semula daerah Idlib.
“Kami sekarang meneliti rancangan pemerintah Syria menyambung semula operasi tenteranya di daerah Idlib,” kata John Bolton pada sidang media ketika melawat Baitulmaqdis.
“Kami sangat bimbang dengan kemungkinan Assad akan menggunakan senjata kimia sekali lagi,” katanya.
“Supaya tidak wujud kekeliruan di sini, jika pemerintah Syria menggunakan senjata kimia kami akan bertindak dengan sangat keras dan mereka perlu memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya.”
Daerah utara Idlib adalah kubu pemberontak terakhir di Syria.
Pada April lalu, AS, Perancis dan Britain melancarkan serangan peluru berpandu bersama ke atas Syria sebagai tindak balas tuduhan senjata kimia digunakan di bandar Douma yang menyebabkan berpuluh orang terbunuh.
Bolton juga berkata yang pentadbiran Trump tidak berhasrat menyingkirkan kepimpinan Iran dengan sekatan terbaru ke atas Tehran.
“Perubahan rejim di Iran bukanlah dasar Amerika tetapi kami mahukan perubahan sikap besar-besaran rejim,” katanya.
Bolton tiba di Israel pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari dengan jadual perbincangan memberikan tumpuan kepada Iran dan Syria.
Israel dan Syria berkongsi sempadan dan Iran menyokong Assad dalam perang saudara negara itu, bersama-sama Rusia dan Hezbollah.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar akan menghalang Iran daripada menghantar tenteranya ke Syria dan beberapa siri serangan yang membunuh warga Iran telah dikaitkan dengan Israel.
“Setiap kali Iran membawa peluru berpandu atau senjata merbahaya lain ke Syria sejak beberapa bulan lepas, Israel menyerang pembawa tersebut,” kata Bolton.
“Saya fikir itu adalah tindakan mempertahankan diri yang sah dilakukan Israel,” tambahnya. – AFP, 22 Ogos, 2018.
Komen