HAMPIR sejuta pelarian Islam Rohingya menyambut Aidiladha di kem pelarian terbesar di dunia, hampir setahun selepas melarikan diri dari Myanmar akibat ditindas pihak tentera.
Solat sunat Aidiladha diadakan di masjid-masjid sementara di seluruh selatan Bangladesh bagi menyambut hari raya korban dan beberapa ekor lembu disembelih di kem.
Di Kutupalong, sebuah penempatan yang padat dengan ratusan ribu pelarian, seorang bilal melaungkan azan, memanggil penganut Islam menunaikan solat hari raya manakala kanak-kanak memakai pakaian baharu bersempena hari istimewa ini.
Bagi pelarian ini, Aidiladha merupakan sambutan pertama mereka sejak diusir dari barat Myanmar setahun lalu yang disifatkan oleh PBB sebagai penghapusan etnik.
Tentera Myanmar yang disokong oleh militia Buddha bersenjata, mula melakukan pengusiran di kampung-kampung Rohingya pada Ogos 2017, hanya beberapa hari sebelum Aidiladha.
Mohammad Issa, 19, masih lagi mengingati saat kampungnya dibakar dan sengsaranya hidup di Bangladesh. Mohammad adalah antara 700,000 pelarian Rohingya yang terselamat dari pembunuhan berdarah itu.
“Di Myanmar, kami ada duit, ada lembu dan tanah sendiri. Aidiladha juga lebih meriah,” katanya.
Pada Aidiladha, umat Islam akan mengorbankan haiwan selama tiga hari sebagai mengingati ketaatan Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya Ismail untuk menuruti perintah Allah. Bagaimanapun, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menggantikan anaknya dengan sekor kambing. – AFP, 22 Ogos, 2018.
Komen