Grab Malaysia perkenal tiga inisiatif keselamatan baharu


SYARIKAT perkhidmatan teksi e-hailing (e-panggilan), Grab Malaysia, memperkenalkan tiga inisiatif baharu untuk meningkatkan keselamatan penumpang, pemandu dan jalan raya secara keseluruhan.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata inisiatif baharu itu ialah Butang Kecemasan, “Eagle-i Car Video Recorder (CVR) Dash Cam” dan Program Telematik.

Untuk Butang Kecemasan, Grab memperkenalkan butang kecemasan sekali sentuhan dalam aplikasi mudah alih penumpang yang menghubungkan penumpang terus kepada perkhidmatan panggilan kecemasan kebangsaan (MERS 999) jika berlaku kecemasan.

“Grab akan log semua panggilan keluar melalui butang kecemasan untuk susulan oleh penumpang dan pihak berkuasa, ini adalah komitmen syarikat untuk melabur sumber bagi membangunkan aplikasi untuk berfungsi sebagai butang kecemasan pintar, komprehensif dan efisien,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mengenai “Eagle-I CVR Dash Cam”, pada 2015, Grab melaksanakan program perintis untuk menyediakan 100 pemandu wanita berprestasi tinggi di Lembah Klang dengan memasang dash cam dalam kereta.

Grab kini bekerjasama dengan Eagle-i, Rakan Kamera Keselamatan rasmi Grab untuk menyediakan dash cam secara percuma kepada 3,500 pemandu wanita berprestasi tinggi dan pemandu platinum (pemandu yang mencapai sasaran perjalanan tertentu dan mengekalkan rating tinggi) di seluruh negara, kata Goh.

Selain itu, Program Telematik adalah gabungan pembelajaran mesin dan analitik ramalan yang mengenal pasti tabiat memandu yang tidak selamat seperti memandu laju, membelok dengan tiba-tiba dan menekan brek atau memecut bertujuan untuk mendidik pemandu mengenai cara untuk memperbaiki prestasi memandu.

“Pemandu akan menerima ringkasan prestasi pemanduan mingguan mereka sebagai rujukan dan penambahbaikan selanjutnya dan program ini yang dilancarkan pada Jun di Singapura sudah mendapat hasil yang sangat menggalakkan yang membantu meningkatkan keselamatan jalan raya,” kata Goh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata suruhanjaya itu gembira Grab memberi respon kepada permintaan untuk memperkenalkan butang kecemasan dalam aplikasi mereka.

Beliau berkata SPAD juga menghargai pemikiran untuk masa depan dengan melaksanakan inisiatif baharu dan mengharapkan penumpang akan menggunakan fungsi itu secara bertanggungjawab bagi meningkatkan keselamatan pengguna dan jalan raya. – Bernama, 29 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen