SEORANG ahli kongres Republikan dari California dan isterinya didakwa oleh jemaah juri persekutuan semalam kerana menyalahguna dana kempen bernilai AS$250,000 (RM1 juta), kata pihak berkuasa.
Duncan dan Margaret Hunter dituduh menyeleweng wang tunai selama tujuh tahun, menggunakannya untuk bercuti bersama keluarga di Hawaii dan Italy, membayar bil pergigian, membeli tiket teater dan pelbagai lagi perbelanjaan yang tiada kaitan dengan kempen.
Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Adam Braverman dalam satu kenyataan berkata Hunter, 41, dan isterinya yag berusia 42 tahun telah dituduh berulang kali menyeleweng dana kempen seolah-olah itu adalah akaun peribadi mereka.
“Wakil-wakil rakyat yang dipilih harus mengekalkan kepercayaan awam, tidak menyalahguna jawatan mereka bagi tujuan peribadi,” katanya.
Hunter dan isteri dijadualkan akan dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan di San Diego, kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.
Republikan bimbang kes itu akan menjejaskan kerusi yang dimenangi Hunter pada pilihan raya pertengahan November, yang meliputi sebahagian besar wilayah timur San Diego. Beliau merupakan anak kepada bekas ahli Parlimen. – AFP, 22 Ogos, 2018.
Komen